UPSR teras aspek kemenjadian murid

UPSR teras aspek kemenjadian murid

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Pendidikan bersetuju dengan cadangan agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dimansuhkan pada 2022 untuk dikembalikan semula kerana ia merupakan antara teras kepada aspek kemenjadian murid.

Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UPSR dan PT3 itu ada nilainya yang tersendiri dan menjadi salah satu komponen penting dalam sistem pendidikan kita sejak sekian lama.

“Jadi saya melihat peperiksaan itu ada kewajarannya untuk diadakan semula kerana ianya telah terbukti menjadi teras kepada aspek kemenjadian murid seperti yang kita mahukan untuk anak-anak generasi pewaris masa depan negara,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, pemansuhan UPSR dan PT3 oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin pada 2022 dibuat dalam situasi tergesa-gesa dan tanpa kajian mendalam.

Katanya, pemansuhan peperiksaan itu yang digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) juga telah memberi kesan kepada penilaian sebenar tahap pencapaian pelajar.

Tambah Mahdzir, ada kedengaran suara-suara ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan PBD dan PBS yang telah menjejaskan peluang anak-anak mereka memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Saya juga melihat dari sudut tahap persaingan dan kesungguhan murid dan pelajar ini agak berkurangan apabila tiada peperiksaan khas seperti UPSR dan PT3. Dahulu mereka berada dalam suasana persaingan dan kesungguhan yang cukup tinggi untuk mencapai kejayaan,” ujarnya.

Untuk rekod, UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul, manakala PT3 pula dilaksanakan pada 2014 bagi menggantikan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Seorang lagi bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, terserah kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan pihak kementerian serta kerajaan untuk membuat keputusan yang terbaik sama ada mengembalikan peperiksaan itu atau sebaliknya.

“Mereka lebih faham dan tahu keadaan terkini pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN