‘Tiap-tiap tahun Tuanku nasihat jaga alam sekitar’

‘Tiap-tiap tahun Tuanku nasihat jaga alam sekitar’

Teluk Gong
KEADAAN anak sungai yang kotor dipercayai berpunca daripada aktiviti kilang haram ketika tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Teluk Gong, Klang, Selangor, pada September lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Tuanku (Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah) nasihat tiap-tiap tahun supaya jaga alam sekitar.”

Selain itu, pelbagai laporan dan aduan dibuat termasuk kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung operasi kilang-kilang haram di Teluk Gong, Klang.

Namun, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, isu alam sekitar terus berlaku.

Beliau mengakui sebahagian kilang yang dibina di situ adalah sah di atas tanah yang diwartakan sebagai kawasan industri, namun wujud premis-premis haram beroperasi secara tidak sah lebih 10 tahun lalu.

“Setiap kali pembukaan Sidang Dewan Undangan Ne­geri (DUN), hal berkaitan alam sekitar memang ada dan saya pun turut membahaskannya.

“Tetapi, sampai sekarang isu masih berlarutan. Penguatkuasaan dibuat, kilang tutup sekejap dua tiga bulan, kemudian kembali beroperasi. Seolah-olah macam ada pihak yang kepada melindungi mereka sehingga berani beroperasi secara haram dan mencetuskan pencemaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

KERATAN laporan Utusan Malaysia.

Selasa lalu, akhbar ini melaporkan persoalan ditimbulkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar apabila mendakwa ke­gagalan PBT dan agensi kerajaan lain ‘menghidu’ operasi puluhan kilang haram kitar semula plastik dan tayar di Te­luk Gong berhampiran Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menjelaskan, dua daripada tiga pre­mis kilang tayar di kawasan perindustrian Teluk Gong, didapati beroperasi secara ­haram.

Sebanyak 18 operasi pemeriksaan dijalankan sepanjang tahun ini di sekitar kawasan tersebut oleh Jabatan Perlesenan bersama Jabatan Pe­nguatkuasa MBDK dan 27 kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Tred Perindustrian Perniagaan Dan Iklan Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2007.

Selain itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Tan Sri Azam Baki dilapor memberi jaminan pihaknya akan mengambil tindakan sekiranya wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa terutama pihak berkuasa berhubung operasi kilang-kilang haram di sana.

Ini kerana, kesan daripada operasi kilang berkenaan dilapor memberi kesan kepada lebih 40,000 penduduk di sana apabila terpaksa menghidu bau busuk dari puluhan kilang pemprosesan sisa bua­ngan disyaki beroperasi secara haram.

Dalam pada itu, Azmizam mengalu-alukan siasatan SPRM terhadap mana-mana pihak berhubung pengoperasian kilang-kilang terbabit selepas mendakwa aduan kepada pelbagai agensi pihak berkuasa sudah pun dibuat sebelum ini.

“Sudah banyak kali aduan dibuat. Saya buat, penduduk pun buat. Isunya pun sudah dibangkitkan dalam sidang DUN. Ini kerana kesannya te­ruk bukan sahaja penduduk di Kampung Teluk Gong tetapi bau busuk asap itu merebak sampai kawasan sekitar seperti Taman Teluk Gadong Indah, Taman Pendamar Indah, Kampung Pendamar.

“Yang pelik, pihak berkuasa sepatutnya tak perlu tunggu ada laporan seperti yang didedahkan Utusan Malaysia atau aduan daripada penduduk sekali pun. Sebab operasi kilang haram itu bukan tersembunyi tetapi terbuka, semua orang boleh nampak,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin ketika ditemui memaklumkan, kerajaan negeri menunggu laporan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berhubung siasatan pencemaran akibat pelupusan sisa industri, plastik dan tayar terpakai berskala besar.

“Saya sedang me­nunggu maklum balas (laporan) daripada JAS Selangor. Kita akan mengeluarkan kenyataan media nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN