SHAH ALAM: Lesen operasi sekolah-sekolah di negeri ini yang diserbu polis kelmarin selepas terdapat dakwaan dikaitkan dengan gangguan seksual dan eksploitasi kanak-kanak akan ditarik balik.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pusat tahfiz atau sekolah agama yang didapati terlibat dengan unsur-unsur di atas untuk menjamin keselamatan para pelajar.
“Saya tegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sentiasa bertanggungjawab dalam menjamin kesucian agama Islam dari anasir jahat dan sesat yang memudaratkan umat Islam.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan sekolah-sekolah agama atau pusat-pusat tahfiz yang mengamalkan perkara-perkara salah boleh tampil melaporkan terus kepada JAIS di talian hotline 1800 88 2424,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut menubuhkan pasukan siasatan khas yang dipengerusikan sendiri oleh pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad dan sedang giat menjalankan siasatan.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan JAIS meneliti barangan yang dirampas oleh Polis Diraja Malaysia dalam serbuan terhadap 18 premis termasuk sekolah agama dan rumah kebajikan di seluruh negeri ini, semalam.
Penelitian tersebut dibuat selepas JAIS mengadakan pertemuan dengan polis supaya rampasan yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan ahli-ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) untuk siasatan lanjut pihaknya.
Bagaimanapun, sebelum itu GISBH dalam kenyatannya menafikan dakwaan rumah amal kendalian pihaknya terbabit dalam mendidik kanak-kanak di bawah jagaannya dengan amalan seks luar tabii seperti yang tular di media sosial.
Syarikat mendakwa tuduhan tersebut adalah berat dengan niat menimbulkan prasangka, fitnah dan berniat jahat sekali gus mewujudkan persepsi negatif terhadap GISBH.
Dalam pada itu, Mohammad Fahmi yang juga Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberitahu, kerajaan negeri komited dalam memastikan keselamatan pusat-pusat tahfiz dan sekolah-sekolah agama dari menjadi pusat exploitasi kanak-kanak dan sebaran ajaran-ajaran yang bercanggah dengan agama Islam.
“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), JAIS atas tindakan tegas dan segera dalam menangani perkara ini.
“Saya berharap agar siasatan diteruskan secara profesional dan tindakan tegas segera diambil untuk kesalahan-kesalahan yang berjaya dibuktikan,” ujarnya.
Terdahulu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi gerakan Op Global.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan.
Hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.
Susulan kes itu, seramai 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita berusia 17 hingga 64 tahun. – UTUSAN










