Siasat punca tanah runtuh Cameron Highlands

Siasat punca tanah runtuh Cameron Highlands

KEADAAN tanah runtuh di Cameron Highlands, Pahang, kelmarin. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) menggesa siasatan dilakukan terhadap punca kejadian tanah runtuh, di sini, kelmarin.

Presidennya, A. Dilip Martin berkata, pihak berkaitan perlu menyiasat kelulusan pemba­ngunan Pasar Tani Kekal (PTK) di Sungai Burung, Brinchang yang terletak berhampiran kejadian tanah runtuh.

Katanya, ini kerana berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands (RTDCH) 2030, lokasi pembangunan itu diklasifikasikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1.

Menurut beliau, tiada pembangunan, pertanian atau pembalakan dibenarkan kecuali untuk aktiviti pelancongan alam semula jadi berimpak rendah, penyelidikan serta pendidikan di kawasan itu.

“Ketinggian cerun kawasan itu melebihi 35 darjah selain merupakan zon hutan.

“Apakah cadangan pemba­ngunan PTK yang mengandungi 42 lot ruang niaga oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang ini mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, Reach kesal kerana pihak berkenaan tidak memperhalusi semua aspek yang dinyatakan dalam RTDCH 2030.

Katanya, syarat nyata untuk Lot 15263 adalah tanah itu harus digunakan untuk pejabat operasi dan kuarters, bukan untuk ruang niaga.

“Kawasan yang sedang di­teroka juga tidak menjalankan mitigasi cerun sehingga berlakunya tanah runtuh yang menyebabkan kesesakan lalu lintas selama hampir empat jam “ katanya.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sewajarnya meneliti dan memberikan ulasan untuk menolak projek berkenaan kerana tidak mematuhi syarat-syarat RTDCH 2030.

“Siasatan menyeluruh terhadap projek-projek yang diluluskan ini perlu dilakukan,” katanya.

Menerusi laporan media semalam, kejadian tanah runtuh berlaku sekitar pukul 11 pagi menyebabkan sebahagian laluan jalan terhalang namun tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN