‘Selayangku Sayang’ kekal tersemat dalam jiwa William Leong

‘Selayangku Sayang’ kekal tersemat dalam jiwa William

PERBINCANGAN bersama beberapa wakil bagi menyelesaikan aduan yang diterima ketika mengadakan lawatan di Batu Arang sebelum ini. – mingguan/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANPA mengira kaum sama ada Melayu, India dan Cina, semuanya dilayan sama rata terutama apabila menyentuh hal-hal berkaitan kebajikan.
Pendekatan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen ini menyebabkan beliau berjaya kekal dan disenangi penduduk di kawasan berkenaan.

Malah, beliau tidak kekok untuk menziarahi majlis kenduri, kematian atau apa saja majlis melibatkan semua kaum di kawasan Parlimen Selayang.

Memenangi kerusi Parlimen Selayang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 dengan majoriti 3,567, peguam ini cukup selesa bertemu rakyat setiap masa dan menyantuni semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur serta latar belakang.

“Kalau ada jemputan atau apa juga majlis melibatkan penduduk kawasan, saya akan cuba sedaya upaya memenuhi atau datang ke menziarahi.

“Ini memudahkan saya berkomunikasi dan dapat mengetahui masalah mereka secara tidak langsung,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

———————————————————————————

Biodata  William Leong Jee Keen
Tarikh lahir:27 Januari 1957 (67 tahun)
Pendidikan: Sarjana Muda Undang-Undang,National Universiti Singapura
Kerjaya:

  • Ahli Parlimen Selayang (2008-kini)
  • Bendahari, Parti Keadilan Rakyat (2013)
  • Ahli Jawatankuasa Kira- Kira Wang Negara, PAC (2018)

Dalam pada itu, William memberitahu, sektor ekonomi di Selayang agak luas dengan merangkumi kawasan tertentu seperti seperti Batu Caves, Kuang dan dalam kawasan Selayang sendiri.

Katanya, sektor perindustrian di kawasan berkenaan sekali gus mampu menyumbang kepada sektor pekerjaan untuk 300,000 penduduk di parlimen berkenaan.

Sebagai rekod pecahan komposisi penduduk di Parlimen Selayang mengikut kaum ialah 56 peratus Melayu; 26 peratus Cina dan 15 peratus India.

Tambah William, kawasan Parlimen Selayang juga bukan sahaja mempunyai kelebihan daripada segi perindustrian, tetapi mempunyai potensi sektor pelancongan.

 

Jelasnya, antara kawasan yang mampu diketengahkan adalah Bukit Lagong, kolam air panas, Hutan Lipur Kanching selain tempat bersejarah di Batu Arang.

“Batu Arang sangat berpotensi untuk dibangunkan sebagai tapak warisan sejarah selain kawasan hutan hijau yang berkait rapat dengan eko pelancongan.

“Namun visi saya masih belum sampai bagi menjadikan kawasan berkenaan untuk betul-betul dikenali selain menjadikan Batu Arang pekan warisan,” jelasnya.

Selain kedua-dua sektor berkenaan, beliau juga mempunyai visi dan misi khas bagi memastikan kawasan Selayang selamat dan tidak dipenuhi dengan warga asing.

“Sekarang ini kita sedang berbincang untuk menghantar warga Rohingya ke tempat lain. Dulu mereka dihantar ke Sungai Buloh tapi terpaksa berpatah balik ke Selayang disebabkan tiada aktiviti perniagaan.

“Pada masa sama, saya juga cuba berbincang dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dalam memberi mereka pekerjaan supaya mereka dapat membeli keperluan asas. Ini kerana kita tahu orang tempatan tidak berminat untuk bekerja di pasar borong dan mereka boleh mengisi kekosongan berkenaan,” jelasnya.

 

WILLIAM (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Surau Mardhiah yang berada di bawah Parlimen Selayang. – mingguan/ SHIDDIEQIIN ZONWilliam menambah, beliau juga cuba menyelesaikan beberapa masalah setempat terutama berkaitan isu banjir.

“Projek yang saya mahu fokuskan sekarang adalah pengambilan tanah untuk menyelesaikan masalah banjir kerana tanah di sini digunakan oleh individu tetapi tiada infrastruktur seperti jalan atau longkang di kawasan berkenaan.

“Ini semestinya menjadi masalah. Lagipun ada antara mereka yang bina rumah sehingga ke kawasan tebing longkang besar. Jadi, kita mesti mempunyai dana yang cukup untuk mengambil alih kawasan berkenaan. Saya berharap mungkin dalam setahun dua ia boleh dilaksanakan dan ada pembangunan semula nanti,” ujarnya.

Beliau juga kini sedang berusaha bagi menambah kemudahan pendidikan termasuk membina sekolah menengah dan rendah bagi menampung keperluan murid-murid pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN