BANGI: Empat negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) menubuhkan syarikat SG4 Group Sdn Bhd bagi membolehkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berkongsi kekayaan secara saksama.
Ketua Panel Penasihat Empat Kerajaan Negeri (SG4), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, setiap empat negeri tersebut akan mempunyai 25 peratus dalam syarikat tersebut di mana segala hasil kekayaaan akan diagihkan sama rata.
“Kita akan usaha segala hasil yang kita dapat kemudian akan diagihkan supaya negeri yang ketinggalan jauh macam Perlis negeri itu pun akan dapat juga hasil daripada keempat-empat buah negeri.
“Umpamanya kita percaya industri nadir bumi ini satu punca kekayaan. Ada negeri kaya nadir bumi, ada negeri tidak. Jadi penubuhan syarikat ini akan membantu antara keempat-empat negeri.
“Kita juga hendak memajukan empat negeri ini supaya kita juga dapat nikmati daripada kekayaan negara,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak SG4 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, SG4 Group Sdn Bhd juga bermatlamat untuk meningkatkan nilai pelaburan di empat negeri tersebut sama ada menarik pelabur tempatan atau luar negara.
Katanya, syarikat yang ditubuhkan itu hanya memberi tumpuan untuk pembangunan empat negeri berkenaan, bukannya membawa haluan lain daripada kerajaan Persekutuan.
“Kita bukan mahu ubah ke jalan lain, kita mahu tumpu kepada pembangunan empat negeri ini yang tidak dapat kekayaan yang sama berbanding negeri-negeri lain.
“Kita juga mahu majukan empat negeri ini supaya kita juga dapat nikmat kekayaan negara.
“Kita boleh cuba urus FDI (pelaburan langsung asing) dan kalau perlu dapatkan maklumat dan contoh dari negara-negara yang mempunyai model yang baik,” katanya.
Menurut Dr. Mahathir, lembaga pengarah SG4 Group Sdn Bhd akan dianggotai wakil setiap negeri.
“Sebagai contoh di Terengganu MB Incorporated, di Kelantan Perbadanan Menteri Besar Kelantan, begitu juga Kedah dan Perlis,” katanya.- UTUSAN