KUALA LUMPUR: Seorang jurugambar sambilan kekal menjalani hukuman penjara 24 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas dua kesalahan mengarah dan menghasilkan pornografi dua kanak-kanak berusia 11 tahun di studio sebuah sekolah antarabangsa pada 2019.
Lelaki berusia 31 tahun itu ketika kejadian dilantik oleh pihak sekolah berkenaan bertindak sebagai jurugambar dalam pelbagai program anjurannya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara 12 tahun dan enam sebatan bagi setiap pertuduhan. Hukuman berkuat kuasa secara berasingan.
Pesuruhjaya kehakiman Dr. Wendy Ooi Su Ghee menolak rayuannya selepas berpuas hati rayuan itu tiada merit manakala pertuduhan yang dikenakan sempurna dan tidak mengelirukan.
Beliau mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 11 Disember 2023 yang mensabit dan menghukumnya atas kedua-dua pertuduhan.
“Hakim bicara dalam kes ini telah membincangkan kepentingan awam di samping menghantar mesej yang kuat kepada perayu dan masyarakat bahawa kanak-kanak bukan objek untuk memuaskan atau meredakan keinginan dan nafsu seseorang.
“Hakim bicara turut mendapati, definisi pornografi kanak-kanak telah dibuktikan melalui sesi pengambaran perayu ke atas kedua-dua mangsa menggunakan pisang dan roti panjang,” ujar Wendy Ooi dalam penghakiman bertulis bertarikh 2 Ogos lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.
Mahkamah Sesyen turut memerintahkan perayu menjalani pengawasan polis selama tempoh dua tahun selepas tamat pemenjaraan serta perlu menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh tersebut.
Pertuduhan pertama, dia disabitkan mengarahkan dan menghasilkan pornografi kanak-kanak tersebut kira-kira pukul 4.30 petang, 2 Ogos 2019 di sebuah sekolah antarabangsa di Sepang, dekat sini.
Jurugambar berkenaan turut disabitkan atas pertuduhan serupa pada waktu pagi, 16 April 2019 di tempat yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan dan sebatan minimum enam kali.
Naratif pendakwaan menyatakan, ibu mangsa dalam kes pertama membuat laporan polis pada 3 Ogos 2019 selepas kanak-kanak itu memaklumkan perayu mengajaknya terlibat dalam sesi fotografi di studio sekolahnya yang mana hanya mereka berdua berada di situ.
Ketika sesi berkenaan, perayu merakam gambarnya ketika sedang makan pisang selain mengajak mangsa bermain permainan `What’s In The Box’ dengan cara menutup mata kanak-kanak itu dengan kain dan menyuruhnya memegang dan meneka beberapa objek.
“Perayu kemudian meminta mangsa supaya tidak menceritakannya kepada sesiapapun sehingga kanak-kanak itu merasa pelik dan tidak selesa, sebelum bertindak memberitahu ibunya,” demikian menurut naratif pendakwaan.
Selain itu, dalam kes kedua, perkara itu terdedah selepas pihak sekolah mengadakan siasatan dalaman terhadap perayu dan menemukan beberapa keping gambar dalam komputer ribanya yang menunjukkan mangsa kedua sedang makan pisang dan roti panjang.
Dalam pembelaannya, perayu tidak menafikan mengarahkan dan mengambil gambar serta video kedua-dua kanak-kanak itu namun memberi alasan ia bagi menyiapkan projek peribadinya yang bermotifkan kesihatan.
Perayu juga tidak menafikan mengajak salah seorang daripada kedua-duanya bermain permainan `What’s In The Box’ melainkan untuk bersantai kerana kanak-kanak itu kelihatan penat selepas sesi pengambaran.
Perayu juga mengaku meminta kedua-dua mangsa merahsiakan perbuatan tersebut atas alasan penggunaan kelengkapan sekolah, pelajar atau kakitangan bagi projek peribadi adalah tindakan yang salah. – UTUSAN