'Port' penagih dadah belukar, rumah kosong digempur - Utusan Malaysia

‘Port’ penagih dadah belukar, rumah kosong digempur

Port dadah
ANTARA penagih yang ditahan dalam Op Sarang di Kajang dan Klang, Selangor, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang ‘tokan’ dadah dan 20 penagih diberkas polis yang menggempur kawasan belukar serta rumah kosong di dua daerah, baru-baru ini.

Operasi (Op) Sarang itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor di sekitar Kajang dan Klang bermula 2 hingga 8 September lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan 21 lelaki melibatkan 16 warga tempatan dan lima Bangladesh berusia antara 20 hingga 60 tahun dibuat menerusi risikan dan maklumat mengenai aktiviti pengedaran serta penagihan di sana.

“Siasatan mendapati seorang daripada suspek dipercayai berperanan sebagai tokan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 53.82 gram, syabu (10.78 gram), ganja (2.65 gram) dan lima biji pil yaba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas Hussein, penagih terlibat melepaskan gian di kawasan semak, belukar, tangga atau rumah kosong.

“Penagih itu akan masuk dahulu ke kawasan berkenaan sementara menunggu tokan datang untuk menjual dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing mereka didapati positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Tambah beliau, Op Sarang itu antara inisiatif dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai sarang pengedar dan sarang penagih di seluruh Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN