PN putuskan MoU peruntukan pembangkang Isnin ini – Takiyuddin

PN putuskan MoU peruntukan pembangkang Isnin ini – Takiyuddin

TAKIYUDDIN Hassan (dua, kiri) menyaksikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad menyampaikan hadiah kepada pemenang Kota Bharu Half Marathon di Kota Bharu, Kelantan semalam. – MINGGUAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan besar akan memutuskan Memorandum Persefahaman (MoU) berkait peruntukan pembangkang pada Isnin ini selepas mengadakan pertemuan dengan seluruh Ahli Parlimen gabungan itu.

Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perbincangan itu akan turut di­sertai oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita bincang dan akan buat pendirian sama ada bersetuju, tidak bersetuju atau bersetuju dengan syarat-syarat tertentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi kita harap perbinca­ngan itu berjalan lancar dan satu keputusan dapat dicapai dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Kota Bharu Half Marathon di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengambil pendekatan mengunci mulut daripada memberikan sebarang komen berkait dengan isi kan­dungan MoU tersebut.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Takiyuddin mengesahkan gabungan itu akan membincangkan perincian mengenai draf MoU berkait peruntukan pembangkang pada 9 September.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan satu sesi taklimat berkait perkara itu akan diadakan pada tarikh tersebut.

Sementara itu, Pas melihat tiada mana-mana parti yang boleh melabelkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor sebagai kubu kuat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 28 September ini.

Kata Takiyuddin, ini kerana dalam politik apa-apa sahaja boleh berlaku walaupun di atas kertas ia dilihat berpihak kepada kumpulan tertentu.

“Tetapi cita rasa, pendirian rakyat yang menjadi pengundi tiada siapa boleh meneka. Sebarang kemungkinan boleh berlaku pada PRK nanti.

“Bagi saya tidak boleh katakan kubu kuat mana-mana parti. Kita tengok apa yang berlaku sebelum ini pun, keadaan itu boleh berubah,” katanya.

Takiyuddin memberitahu, semua jentera di bawah Perikatan Nasional (PN) baik Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan sememangnya bergabung untuk memberikan kemenangan pada PRK itu nanti. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini