Pesawah tuntut segerakan pam RM20 juta

Pesawah tuntut segerakan pam RM20 juta

SEBAHAGIAN pesawah buntu selepas tidak dapat mengusahakan tanaman padi akibat masalah bekalan air di Kelantan. – UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak) me­nuntut Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyegerakan kemudahan bernilai RM20 juta yang diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahin sebelum ini.

Pengerusinya, Zuha Ismail berkata, kemudahan itu membolehkan pesawah kembali memulakan kerja-kerja menanam padi sekali gus membantu ke­terjaminan sumber makanan negara.

Katanya, ketika ini hanya kira-kira 25 peratus atau le­bih 1,000 pesawah di kawasan seluas 9,000 hektar seliaan KADA dapat menanam padi bagi musim pertama berikutan masalah air yang tidak berkesudahan.

“Rumah Pam di Kemubu adalah jantung utama kepada pesawah di negeri ini dalam menjalankan kerja-kerja menanam padi.

“Namun disebabkan rumah pam yang gagal berfungsi selain penghadang air berhampiran kawasan itu yang pecah sejak empat tahun menambah derita kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Zuha memberitahu, keadaan itu menyebabkan air mengalir ke laut dan sekali gus tidak sampai ke kawasan sawah.

Katanya, memburukkan lagi keadaan, penghadang air di kawasan itu belum dibaik pulih.

“Walapun taburan hujan ketika ini agak lebat, ia belum dapat menakung air di petak-petak sawah. Pesak sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak KADA, namun tiada sebarang tindakan diambil ketika ini,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, petani di Kampung But, Ketereh di sini mendakwa terpaksa menggunakan wang tabungan untuk meneruskan ke­langsungan hidup selepas tidak dapat mengusahakan tanaman padi ekoran masalah bekalan air.

Pada Mei lalu, Perdana Menteri dilapor mengarahkan pembelian 20 unit pam air membabitkan nilai RM20 juta untuk kegunaan di Kelantan disegerakan.

Anwar berkata, ia berikutan Kelantan kini berdepan masalah musim kemarau berpanjangan sehingga memerlukan tindakan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN