KOTA KINABALU: Parti Malaya termasuk parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) diingatkan agar tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, beliau telah memaklumkan kepada parti-parti dalam PN agar tidak bertanding di Sabah.
Kata beliau, biarpun ada pemimpin PN yang marah namun, itu adalah pendirian SAPP sebagai salah sebuah parti yang menganggotai PN.
“Biarpun ada parti dalam PN yang marah dengan pandangan tersebut namun, SAPP kekal dengan pendirian sebegitu. Di bawah undang-undang mereka (parti Malaya) boleh bertanding tapi, kita nyatakan pandangan kita. Tidak perlulah kawan-kawan dari Semenanjung marah.
“Namun, dari segi undang-undang kalau mereka mahu tanding, kita tidak boleh halang. Jadi, terserah kepada rakyat.
“Kita menyatakan pandangan kita bahawa pilihan raya negeri biarlah parti tempatan yang bertanding. Jangan biarkan parti bukan tempatan bertanding.
“Jadi, parti dari Semenanjung atau Sarawak jangan masuk campur dalam politik Sabah. Itu pendirian SAPP,” katanya semasa Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan SAPP, semalam.
Teck Lee yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, biarpun GRS, menyatakan ingin bekerjasama dengan parti lain pada PRN Sabah namun, SAPP kekal dengan pendirian bahawa hanya parti tempatan yang sepatutnya bertanding pada PRN.
Menurutnya, pendirian berkenaan bukan baharu dan telah dinyatakan beberapa kali secara terbuka mahupun dalam mesyuarat tertutup serta perlu dihormati.
Kata beliau, biarpun calon parti Malaya adalah orang tempatan Sabah namun, tetap dikawal oleh Kuala Lumpur.
“Jadi, biarkan parti Sabah sahaja bertanding dalam PRN kali ini dan pilihan raya peringkat Parlimen itu cerita lain,” katanya. – UTUSAN











