Peniaga jual ikan 20 sen seekor

Dua beradik jual ikan 20 sen seekor

ORANG ramai memilih ikan yang dijual dengan harga 20 sen seekor di Pasar Tikam Batu, Sungai Petani. - UTUSAN/ OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Terkesan dengan peristiwa seorang nenek yang tidak cukup wang dan hanya menggunakan syiling untuk membayar ikan dibeli, dua beradik yang juga peniaga ikan di Pasar Batu Tikam dekat sini mengambil inisiatif menjual hasil laut itu pada harga serendah 20 sen seekor.

Dua beradik itu iaitu Mohamad Syamil Zulkifli, 29, dan Mohamad Shauki, 23, yang berniaga hasil laut di pasar berkenaan dengan menggunakan nama Jon Ikan.

Menurut Mohamad Syamil, peristiwa yang berlaku pada Ogos lalu itu membuatkan hatinya tersentuh dan berbincang dengan Mohamad Shauki untuk mula menjual ikan pada harga murah bagi membolehkan pelanggan yang hidup susah turut dapat menikmati hasil laut itu.

“Pelbagai jenis ikan seperti ikan kerisi, cencaru, rambai, kacang, ketuka dan duri yang diperoleh daripada nelayan sekitar Tanjung Dawai dijual setiap hari bermula pukul 5.30 petang hingga 7 malam.

“Berikutan sambutan menggalakkan pelanggan, kami menyediakan antara 100 kilogram (kg) hingga 400kg setiap hari dan jualan akan bertambah pada hari cuti,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Katanya, dia bertekad untuk menjadikan jualan ikan pada harga 20 sen seekor itu sebagai jualan tetap jangka panjang kerana selain mempunyai pembekal tetap, mereka juga mempunyai bot sendiri untuk menangkap hasil laut itu.

“Jualan ini memang tidak memberi keuntungan, sebaliknya sebagai salah satu usaha murni kami membantu golongan berpendapatan rendah membeli ikan,” ujarnya.

Menurutnya, selain ikan yang dijual pada harga 20 sen seekor itu, dia juga menjual ikan dan hasil laut lain pada harga pasaran.

Sementara itu, seorang pelanggan, Muhamad Izuwan, 42, berkata, usaha murni yang dibuat peniaga terbabit memberi peluang kepada pelanggan terutama yang kurang berkemampuan untuk membeli ikan.

“Walaupun saiz ikan ini kecil, namun golongan tidak berkemampuan seperti kami dapat membelinya untuk dijadikan hidangan keluarga. Setiap hari saya akan berkunjung ke sini kerana belian ini menjimatkan kos selain dapat memilih sendiri ikan segar,” katanya.

Bagi suri rumah, Nurul Baizura Abdul Ghani, 30, dari Kampung Sungai Yu, Pulau Sayak berkata, dia membeli ikan di situ dua hari sekali sebagai satu daripada cara membantu meringankan beban pendapatan suaminya yang bekerja kampung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN