PETALING JAYA: Pas tidak wajar menjadikan DAP sebagai alasan untuk menolak menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pernah bekerjasama dengan parti itu.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, DAP tidak sepatutnya menjadi isu dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Saya tidak fikir alasan DAP itu satu perkara jadi isu, sebab mereka sendiri pernah dengan DAP, apa masalahnya?
“Selain itu, kalau Yang di-Pertuan Agong boleh terima DAP sama dalam kerajaan, takkan Pas lebih lajak daripada Yang di-Pertuan Agong untuk mengetepikan soal penyertaan DAP dalam kerajaan.
“Kalau itu alasannya, dia telah menyanggahi Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja yang bersedia menerima DAP. Tidak ada pun Yang di-Pertuan Agong rasa bahawa DAP akan menggugat kerajaan Seri Paduka,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pas mengakui terdapat usaha daripada pihak tertentu yang mempelawa parti itu untuk bersama dalam kerajaan, namun perlu melihat dari semua aspek baik dan buruk.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, perkara itu juga ada dibangkitkan dalam Majlis Syura Ulama Pas, namun sekadar dibincang sepintas lalu dan belum ada sebarang keputusan muktamad mengenainya.
Kelmarin, media melaporkan, Pas enggan menyertai Kerajaan Perpaduan walaupun ‘dipelawa’ kerana tidak mahu bersekutu dengan DAP dan berada di bawah pentadbiran Anwar.
Menurut Hashim, Pas tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan yang ada Anwar dan DAP seperti mana kerjasama terjalin semasa Pakatan Rakyat (PR).
Terdahulu, Mahfuz berkata, beliau setakat ini belum mempunyai maklumat berhubung pelawaan kepada Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya percaya kerajaan terbuka untuk menerima Pas.
“Yang saya tahu, dulu memanglah daripada titah Yang di-Pertuan Agong waktu itu untuk Datuk Seri Anwar jemput semua parti dan Datuk Seri telah menjemput semua parti untuk menyertai. Selepas daripada itu saya tidak pernah dengar apabila mereka menolak.
“Saya fikir dari segi kerajaan terbuka. Kalau mereka nak menyertai, kita sangat mengalu-alukan. Kita masih berpegang pada titah Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu untuk mewujudkan politik damai yang lebih stabil bagi tujuan memacu ekonomi negara kita.
“Kita masih terbuka, tetapi terpulang kepada mereka,” katanya. – UTUSAN










