Pahang, Perak sedia hab halal untuk pelabur China - Utusan Malaysia

Pahang, Perak sedia hab halal untuk pelabur China

Wan Rosdy Wan Ismail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHANGHAI: Pahang dan Perak menyediakan infrastruktur untuk para pelabur dari China melibatkan diri dalam industri halal termasuk tapak pembinaan kilang dan tenaga kerja.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tiga kawasan dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai hab halal di negeri itu iaitu di Gebeng dengan keluasan 304 hektar, Gambang (68.4 hektar) dan Bentong (14.7 hektar).

“Kita telah mendapat peruntukan sebanyak RM63 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan kita telah membangunkan infrastruktur. Di samping itu kita juga menyediakan tanah untuk mereka di Gambang, Gebeng dan Bentong dan kita akan membuat proses dari hab halal ke pelabuhan, dari kilang ke pelabuhan untuk diimport dan dieksport supaya ia dapat memberi keyakinan kepada para pelabur untuk melabur di Pahang.

“Jadi, dalam hal ini, saya sendiri mengambil alih hab halal bagi tujuan mempercepatkan keputusan dan saya telah arahkan agensi kerajaan, contohnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat daerah untuk memotong (kurang) segala birokrasi yang ada. Malah, saya juga ada  seorang pegawai yang akan bertanggungjawab secara khusus untuk hab halal,” katanya ketika ditemui media pada Forum Perniagaan Halal Malaysia-China di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, Malaysia meraih pelaburan baharu dengan potensi kira-kira RM4 bilion dari China dalam industri halal.

Potensi pelaburan besar itu diraih hasil pertemuan serta mesyuarat bersama delegasi Malaysia dan pemain industri halal China.

Ia membabitkan 40 syarikat meliputi beberapa segmen termasuk kecantikan, farmaseutikal, makanan dan minuman (F&B), vaksin dan perubatan berasaskan herba.

Menjelaskan hasil pertemuan bersama para pelabur dalam sesi forum perniagaan Malaysia-China semalam, Wan Rosdy menjelaskan, sebanyak 17 syarikat dari China menunjukkan keseriusan untuk melabur di negeri itu dalam industri halal.

“Cumanya mereka ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut, mereka tanya tentang tanah, berapa lama tempoh pajakan, juga untuk beberapa prosiding lain dan sudah pasti kita akan memudahkan perkara ini sebab kita mahu mereka melabur di Pahang,” katanya.

Sementera itu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) sedang memajukan sembilan kawasan dengan keluasan 70 hektar bagi tujuan industri halal.

“Ia merupakan satu pelaburan yang berbaloi untuk mereka (pelabur China) melabur di Perak kerana pada ini kita sedang meratakan tapak dan pada awal 2025, tapak itu siap dan para pelabur boleh datang bila-bila masa untuk melihat sendiri infrastruktur yang disediakan kepada mereka. 

“Sebab itu saya dengan beraninya menawarkan kepada mereka dan secara umumnya kita tahu industri halal kini sedang berkembang di seluruh dunia, tidak kira ramai Muslim atau bukan Muslim,” katanya.

Saarani turut memberitahu, terdapat sebuah syarikat produk halal yang sudah berminat untuk melabur di Perak dengan pelaburan awal bernilai RM20 juta.

“Ini semestinya memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Perak, membuka peluang pekerjaan kepada anak muda serta bakat tenaga mahir,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya