Lori balak ancam pelajar

Lori balak ancam pelajar

SEBUAH treler membawa balak melalui jalan ketika tamat persekolahan di Gua Musang, Kelantan, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Golongan ibu ba­pa meluahkan kebimbangan berhubung ancaman kehadiran lori balak di Jalan Pulai, di sini yang melalui kawasan berdekatan sekolah menengah dan rendah di situ.

Lori-lori yang berkongsi la­luan sama dikhuatiri membahayakan pelajar dan murid ter­utama sewaktu sesi persekolahan tamat.

Tinjauan selasa sejam bermula pu­kul 12.40 tengah hari kelmarin di hadapan sekolah itu mendapati, lima buah lori balak menggunakan laluan berkenaan.

Selain pelajar, pergerakan lori balak itu turut menimbulkan keri­sauan dalam kalangan pengguna lain yang melalui jalan tersebut.

Seorang ibu, Zainab Othman, 49, berkata, lazimnya lori itu berulang-alik mengambil balak bermula Ahad hingga Khamis setiap minggu.

Katanya, laluan berkenaan sibuk dengan treler balak dan kenderaan berat lain yang menggunakan jalan tersebut sekitar pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.

“Waktu itu juga pelajar pulang dari sekolah dan membahayakan nyawa mereka bersama ibu bapa.

“Selaku ibu bapa saya risau jika ada kayu-kayu balak yang terjatuh dan mengenai pengguna jalan atau murid yang baru habis waktu persekolahan,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna, Muhammad Ghazali Naj­mi, 45, berkata, nyawa pengguna jalan raya terancam setiap kali berselisih dengan treler yang membawa muatan balak.

Katanya, keadaan itu dilihat sangat bahaya apabila treler ba­lak berselisih dengan motosikal atau kenderaan ibu bapa yang hendak mengambil anak ketika habis waktu persekolahan.

“Balak yang penuh atas lori hanya diikat dengan rantai dan penghadang besi di kiri dan kanan.

“Setiap kali berselisih saya rasa takut kalau kayu itu jatuh dan menimpa diri sendiri atau pengguna jalan raya yang lain,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berharap pemandu treler balak dapat bertimbang rasa dengan tidak melalui jalan berkenaan ketika waktu puncak atau ketika tamat sesi persekolahan.

Katanya, pihaknya juga berharap agensi penguat kuasa se­perti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis dapat memantau kenderaan berat yang sibuk lalu-lalang pada waktu persekolahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN