SERDANG: Tindakan segelintir rakyat tempatan yang menyewakan lesen perniagaan mereka kepada warga asing menyebabkan sektor pertanian di Malaysia terutamanya dimonopoli oleh kumpulan tersebut.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara tersebut perlu dihentikan segera bagi memastikan bidang pertanian dikuasai oleh usahawan dan pekerja tempatan.
Kata beliau, terdapat kumpulan bumiputera yang memperoleh lesen dan sebagainya tetapi warga asing melaksanakan kerja.
“Lesen ‘Ali’ (bumiputera) tetapi yang buat ‘Baba’ (warga asing). Macam buat bendang, kita kena lihat dengan serius kenapa di Sekinchan, Selangor berjaya.
“Orang kita apabila buat kerja sendiri kadang-kadang tidak boleh (fokus) tetapi kalau kaum lain apabila mereka buat kerja sendiri, mereka (fokus) betul sampai ke malam,” katanya kepada pemberita, di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan Utusan Malaysia iaitu hampir 40 peratus pekerja dalam sektor pertanian di Malaysia ketika ini dimonopoli tenaga kerja warga asing berikutan golongan muda tidak berminat mengusahakan bidang berkenaan.
Peratusan tersebut direkodkan pada tahun 2023 dan jika trend tersebut berterusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sektor itu dijangka dikuasai sepenuhnya oleh tenaga kerja warga asing.
Ketika ini, golongan yang terlibat dalam sektor pertanian di negara ini adalah tenaga kerja yang 70 peratus melibatkan petani berusia lebih 60 tahun.
Golongan muda yang terlibat dalam sektor itu pula tidak sampai lima peratus daripada jumlah keseluruhan individu di bawah usia belia.
Terdahulu, Mohamad merasmikan Konvensyen Usahawan Agro Madani di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.
Konvensyen yang dihadiri seramai 500 orang usahawan tani itu merupakan platform untuk mengumpul usahawan bagi membina rangkaian pemasaran dan perkongsian maklumat serta meningkatkan kerjasama usahawan dalam mencapai matlamat keterjaminan makanan negara.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, orang-orang muda dilihat lebih gemar untuk menyertai industri yang boleh memberikan mereka hasil pada kadar yang segera.
Katanya, industri pertanian pula memakan masa untuk mendapatkan hasil.
“Cuma sengsara hasil lambat, apabila kita kerja sendiri terutama dalam bidang pertanian, ilai pulangan pelaburan (ROI) lambat tetapi apabila sudah mendapat hasil mereka akan stabil,” jelasnya. – UTUSAN










