Lebih 30,000 pengembara berpusu-pusu ke Thailand

Lebih 30,000 pengembara berpusu-pusu ke Thailand

KESESAKAN berlaku di kaunter pemeriksaan imigresen dan kastam di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Feno­mena rakyat Malaysia bercuti ke Thailand khususnya di selatan negara itu terus rancak apabila kesesakan trafik berlaku di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini.

Data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah setakat ini menunjukkan, sebanyak 30,754 pengembara keluar masuk melalui ICQS Bukit Kayu Hitam, sejak cuti sekolah bermula kelmarin.

Sebanyak 1,868 orang lagi menggunakan ICQS Kota Putra di Padang Terap, sekali gus mencatatkan peningkatan kira-kira 40 peratus berbanding hanya sekitar 400 hingga 600 pengembara pada hari biasa.

Malah, sejak awal pagi, kenderaan beratur sejauh 800 meter di pintu sempadan Malaysia-Thailand yang menghubungkan Kota Putra dengan Ban Prakob, Thailand dan ke­sesakan hampir lima kilometer (km) berlaku di Bukit Kayu Hitam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, populariti Hatyai di Thailand dalam kalangan pelancong Malaysia menyumbang kepada lonjakan pelawat sepanjang musim cuti ini.

“Sejak Khamis lalu, kesesakan di kedua-dua sempadan negara itu menjadi semakin tinggi apabila jumlah pengembara yang menuju ke Thailand bertambah secara drastik.

“Pengembara Malaysia menjadikan Hatyai sebagai destinasi popular kerana lokasi itu dikatakan terkenal sebagai syurga makanan dengan hidangan yang murah dan lazat,” katanya di sini, semalam,

Menurut Mohd. Ridzzuan, JIM Kedah menambah bilangan kaunter pemeriksaan imigresen di kedua-dua ICQS itu bagi mempercepat proses pemeriksaan dokumen perjalanan pelancong serta memperbaiki aliran trafik di kawasan sempadan.

“Di samping itu, penguatkuasaan trafik dipertingkat di jalan-jalan utama menuju ke sempadan bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan pergerakan lancar.

“Kami menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan arahan pihak berkuasa serta memberikan kerjasama penuh kepada pegawai bertugas,” ujarnya.

Beliau menggalakkan orang ramai merancang perjalanan mereka lebih awal serta memantau perkembangan trafik melalui saluran rasmi dan memilih waktu yang sesuai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×