GEORGE TOWN: `Perpecahan’ yang dikatakan melanda DAP Pulau Pinang sebenarnya sudah lama berlarutan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ke-15, Ogos tahun lepas.
Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk berkata, pada ketika itu, ramai pihak berpendapat bahawa calon yang dipilih bukan dalam kalangan penyokong Ketua Menteri ketika ini iaitu Chow Kon Yeow.
Sebaliknya, beliau mendakwa, rata-rata calon yang dipilih merupakan penyokong kepada mantan Ketua Menteri terdahulu iaitu Lim Guan Eng.
“Malahan, berita mengenai Kon Yeow tidak mendapat pencalonan untuk mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang terus hangat diperkatan (pada masa itu).
“Ini jelas menunjukan (bahawa) ada perpecahan dalam DAP negeri dan (pentadbiran) Chow Kon Yeow dilihat semakin ‘lemah’ dalam (memimpin) DAP negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, Azeem Fazwan mendakwa, kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang mengatakan bahawa Kon Yeow akan terus memegang jawatan Ketua Menteri sehingga tamat penggal pentadbiran tidak lebih daripada satu usaha untuk menyelamatkan ‘air muka’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu sahaja.
“Namun kedudukan DAP dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang (ketika ini) amat kukuh.
“(Cuma) yang menjadi persoalan ialah, sejauh manakah Kon Yeow mampu bertahan sebagai Ketua Menteri,” kata beliau.
Semalam, Kon Yeow mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada sesi Pemilihan DAP Pulau Pinang 22 September ini walaupun menerima pencalonan daripada DAP Pusat.
Kon Yeow yang juga Naib Presiden DAP Kebangsaan berkata, ini adalah masa yang sesuai untuk membuat keputusan berkenaan memandangkan Pengerusi DAP Pulau Pinang yang baharu nanti mempunyai lebih masa untuk memimpin parti itu.
Sementara itu, ditanya mengenai calon yang bakal menggantikan Kon Yeow sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang nanti, Azeem Fazwan tidak memberikan jawapan.
Sebaliknya, beliau mendakwa, kumpulan yang bersama Guan Eng akan menguasai pentadbiran kerajaan Pulau Pinang selepas ini.- UTUSAN