TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas sebanyak 23,015 kilogram (kg) minyak masak dari sebuah syarikat pemborong di Langkap, di sini semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan pada pukul 11 pagi itu, premis berkenaan didapati menyimpan barang kawalan melebihi kuantiti ditetapkan.
Katanya, tindakan tersebut adalah hasil daripada pemeriksaan harian yang dilakukan anggota penguatkuasa ke atas pemborong tersebut.
“Pemeriksaan di premis itu mendapati kuantiti semasa minyak masak melalui pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 (1) Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan melalui rekod belian serta rekod jualan minyak masak dianggarkan berjumlah
23,015kg.
“Jumlah itu melebihi had simpanan yang ditetapkan di dalam lesen iaitu hanya 10,000kg,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan, pemilik perniagaan telah memperakui pengisytiharan stok itu dan menyimpan minyak masak melebihi had kuantiti yang dibenarkan.
Sehubungan itu katanya, tindakan sitaan diambil ke atas barang rampasan untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“Jumlah nilai sitaan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM96,663. Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – UTUSAN