Kerajaan negeri disaran sedia tanah bina rumah B40, M40

Kerajaan negeri disaran sedia tanah bina rumah B40, M40

LAPORAN Utusan Malaysia 30 Ogos 2024
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua kerajaan negeri dicadang memperuntukkan tanah bagi pembinaan rumah mampu milik bagi golo­ngan B40 dan M40.

Pensyarah Ekonomi dan Kewangan Harta Tanah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Najib Mohamed Razali berkata, dengan inisiatif itu projek perumahan mampu milik dapat dilaksanakan di lokasi strategik, mudah diakses dan membantu kurangkan kos pembangunan yang sering menjadi penghalang utama untuk menyediakan rumah pada harga berpatutan.

“Peruntukan tanah ­khusus oleh kerajaan negeri boleh mengelakkan spekulasi harga tanah, sekali gus memastikan tanah tersebut benar-benar dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat, bukannya untuk komersial semata-mata.

“Ini juga dapat mempercepatkan pelaksanaan projek-projek perumahan mampu milik, selari dengan keperluan mendesak yang dihadapi golongan B40 dan M40 dalam mendapatkan kediaman yang sesuai dan mampu dimiliki,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut beliau, penyediaan tanah oleh kerajaan negeri juga boleh mengurangkan kos tanah yang menjadi faktor utama kepada harga rumah.

“Peruntukan tanah untuk perumahan rakyat juga dapat merangsang sektor pembinaan tempatan dengan menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong ekonomi tempatan,” jelasnya.

Kelmarin, akhbar ini me­laporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap sesetengah pihak yang membantah pembinaan projek perumahan rakyat bagi kumpulan B40 dan M40 yang merupakan golongan majoriti khususnya di ibu negara.

Dalam pada itu, Anggota Sekutu Malaysia, Pusat Pilihan Pengguna, Tarmizi Anuwar berkata, dasar perumahan perlu diterajui sektor swasta de­ngan memanfaatkan kepakaran mereka dalam reka bentuk, pembinaan dan pembiayaan untuk membangunkan perumahan ikut kemampuan pengguna.

Katanya, penglibatan pemaju swasta penting dalam memba­ngunkan semula kawasan terbiar atau kurang digunakan di bandar dan pinggir bandar menjadi perumahan mampu milik bagi B40 dan M40, sama ada untuk dijual atau disewa.

“Kerajaan boleh bertindak sebagai fasilitator dengan menyediakan insentif pengecualian cukai atau geran kepada pemaju bagi pastikan perumahan berkualiti, mampu milik dan mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada,” jelasnya.

Mengenai harga ­rumah, Tar­mizi berkata, nilai RM180,000 bagi rumah teres setingkat di Lembah Klang adalah wajar berbanding kawasan luar bandar kerana permintaan yang tinggi dan lokasi strategik.

“Sebagai contoh, harga rumah teres setingkat di kawasan luar bandar mungkin antara RM100,000 hingga RM150,000. Walaupun harga lebih rendah ini kelihatan menarik, perlu diingat bahawa kawalan harga yang ketat boleh menyebabkan kompromi terhadap kualiti dan keselamatan rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM, Prof. Madya Dr. Siti Hajar Misnan berkata, peruntukan tanah khusus bergantung kepada keperluan permintaan semasa, status tanah, lokasi, ketersediaan tanah dan polisi semasa bagi perumahan mampu milik.

Jelasnya, ia dapat meningkatkan akses perumahan mampu milik melalui tiga pendekatan iaitu kerajaan negeri dapat buat pemilihan lokasi tanah dan merancang pembangunan yang strategik lebih awal bagi menarik pelabur dan pembeli.

Malah, katanya, projek perumahan dapat disiapkan dengan usaha sama kerajaan negeri dan pemaju (khususnya pemaju yang mempunyai rekod pencapaian yang baik pemaju GLC) serta agensi terlibat bagi memastikan proses perancangan, pembangunan dan penawaran perumahan berjalan lancar.

Anggaran harga rumah di kawasan luar bandar adalah antara RM135,000 hingga RM180,000, dan terdapat kawasan yang lebih rendah harganya bergantung kepada lokasi dan skim ditawarkan.

“Harga rumah mampu milik dipengaruhi jenis pemaju sama ada pemaju swasta, usahasama antara kerajaan dan pemaju, projek perumahan kerajaan persekutuan atau negeri, serta skim khas yang diperkenalkan.

“Harga rumah teres setingkat di Lembah Klang setara atau di sesetengah tempat harganya lebih tinggi dengan harga rumah teres di kebanyakan bandar-bandar utama di Malaysia.

“Faktor seperti lokasi, permintaan pasaran hartanah semasa, polisi dan jenis pemajuan mempengaruhi harga rumah teres di Lembah Klang lebih tinggi dari kawasan lain,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×