KLUANG: Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bukan kerana nama ‘Syed Hussien’ semata-mata, namun ia terhasil atas komitmen semua pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, tanpa kerja keras rakan-rakan di dalam UMNO-BN serta gabungan Pakatan Harapan (PH), kemenangan tidak akan dapat diperoleh.
Namun katanya, lebih utama sekali adalah pengundi daripada semua kaum Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya.
“Apa yang dapat dilihat adalah cara berkempen berkonsepkan kekeluargaan oleh jentera parti dengan menyantuni dari rumah ke rumah adalah satu cara paling berkesan untuk meraih sokongan rakyat.
“Tumpuan kini adalah untuk memberikan perhatian kepada golongan B40 untuk menangani kos sara hidup dengan memperkasakan pelbagai pakej disediakan kerajaan seperti Jualan Rahmah, Jualan Kasih Johor yang sememangnya menjadi harapan rakyat.
“Di samping itu, beberapa perkara lain seperti masalah banjir, pendidikan serta perumahan juga akan diberi perhatian sejajar dengan agenda Maju Johor 2030,” katanya.
Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berkata demikian ketika hadir menyantuni pengundi di Laman Kreatif Kluang, di sini hari ini.
Sebelum itu, Syed Hussien meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk menziarahi pusara ayahnya, Allahyarham Syed Abdullah Syed Abdul Hamid di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu yang meninggal dunia tiga hari sebelum penamaan calon diadakan.
Ujarnya, mengunjungi pusara ayahnya itu sebagai tanda terima kasih atas segala yang diberikan selama ini sehingga menjadi seorang pemimpin di peringkat DUN.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada semua petugas media yang telah membantu selama tempoh berkempen dan telah menarik sokongan semua pengundi khususnya anak muda,” katanya. – UTUSAN










