PONTIAN: Seorang wanita merayu bantuan orang ramai untuk mengesan ibu saudaranya, V. Muniamah, 61, yang hilang sejak keluar rumah di Taman Rambah, Jalan Kukup, dekat sini 26 September lalu.
M.T Logeswary, 33, memberitahu, ibu saudaranya itu mengalami sakit mental sejak tujuh bulan lalu keluar rumah kira-kira pukul 7 pagi.
“Ketika kejadian, saya bekerja di Singapura, seorang lagi emak saudara, V. Samothai nampak adiknya keluar dari rumah tanpa membawa beg dan tidak tahu dia pergi ke mana. Saya sudah buat laporan di Balai Polis Pontian pada Sabtu lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ibu saudaranya yang masih bujang, tinggal bersamanya serta Samothai dan seorang bapa saudara serta adik perempuannya.
Logeswary sering membawa ibu saudaranya itu mendapatkan rawatan di Hospital Permai Johor Bahru dua bulan sekali sejak menghidap penyakit tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada keluarga mangsa.
Katanya, wanita itu mempunyai ketinggian 160 sentimeter, berambut panjang dan keputihan, berkulit gelap dan pakaian tidak diketahui ketika hilang.
Orang ramai yang mengetahui di mana mangsa boleh menghubungi Inspektor Ahmad Shah Abdul Rasheed menerusi talian 019-7578020 atau talian hotline 07-6871222.-UTUSAN