Kekal mansuh UPSR dan PT3, KPM perlu lihat ruang penambahbaikan PBD

Kekal mansuh UPSR dan PT3, KPM perlu lihat ruang penambahbaikan PBD

MUHAMMAD AZMIR AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Pendidikan perlu melihat ruang penambahbaikan terhadap pentaksiran bilik darjah (PBD) susulan keputusan mengekalkan pemansuhan Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Muhammad Azmir Azizan berkata, beliau berpendapat penilaian yang fleksible menerusi PBD perlu dilaksanakan buat murid-murid yang akan melangkah masuk ke sekolah menengah harian, sekolah berasrama penuh (SBP) atau sekolah kluster.

Beliau berkata, KPM perlu mengenalpasti kaedah penilaian murid-murid yang terbaik bermula sejak dari darjah satu sehingga darjah enam.

“Walaupun penilaian PBD itu dilaksanakan, mungkin KPM boleh melihat mana-mana ruang yang dapat ditambahbaik demi kebaikan seluruh murid-murid,” katanya di sini, semalam.

Muhammad Azmir berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mengekalkan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PT3 yang dilaksanakan sejak tahun 2022.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, cadangan untuk mengembalikan kedua-dua peperiksaan itu memerlukan pandangan menyeluruh dan tidak boleh dilihat berdasarkan satu aspek sahaja.

Mengulas lanjut, Muhammad Azmir berkata, bagi tujuan penambahbaikan, Kementerian Pendidikan berkemungkinan boleh melihat kombinasi antara pendidikan agama dengan pendidikan akademik mahupun kemahiran semasa.

“Dasar pendidikan negara sekarang ini antara salah satu fokus adalah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Kecerdasan Buatan (AI), jadi kita boleh juga di samping itu selitkan dengan asas utama iaitu agama.

“Jadi, kombinasi antara pendidikan agama dengan pendidikan semasa yang kerajaan tumpu pada masa ini boleh digabungkan bersama,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika ditanya mengenai proses bagi kemasukan ke SBP atau Sekolah Kluster, Muhammad Azmir berkata, pihaknya percaya buat masa ini tiada lagi sebarang isu seperti penggunaan ‘orang dalam’ bagi tujuan tersebut.

Katanya, proses bagi memasuki sekolah berkenaan adalah berdasarkan penilaian menerusi proses temuduga yang dilaksanakan.

“Jadi penilaiannya adalah mengikut ujian bertulis dan lisan di mana murid-murid ini akan dipilih berdasarkan kemampuan mereka, jadi mungkin tak timbul isu sedemikian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN