PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi penguatkuasa bertindak serius dan bersepadu bagi membenteras sebarang aliran yang menyimpang daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jama’ah (ASWJ).
Perdana Menteri berkata demikian selepas bertemu pegawai tertinggi Jakim berbincang beberapa perkara yang berkait dengan hal ehwal agama Islam di negara ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan yang kerajaan di bawah gagasan Malaysia Madani mengambil serius perkara menyentuh pegangan akidah dan syariat umat Islam.
“Pertemuan ini menyentuh soal pemikiran dan beberapa aliran yang menyimpang daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jama’ah. Justeru, kerajaan menuntut tindakan serius dan bersepadu oleh Jakim dan agensi penguatkuasa bagi menyiasat serta membenteras segala bentuk aliran yang menyimpang sehingga ke akar umbi.
“Semoga Allah melindungi kita dan negara ini daripada sebarang bahaya dan ancaman yang menyimpang dan boleh merosakkan pegangan sebenar akidah dan syariat kita,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, kata Anwar, pertemuan bersama Jakim juga mengambil kira perkembangan mengenai prospek ekonomi dalam sektor halal di dalam dan luar negara.
“Ini yang menagih kebersamaan antara agensi Persekutuan bagi membantu merancakkan lagi industri halal Malaysia,” katanya. – UTUSAN










