PETALING JAYA: Ibu bapa kepada kanak-kanak berusia 12 tahun yang `diselamatkan’ kerana tidur di kaki lima sebuah pangsapuri di Sungai Way semalam dibebaskan polis pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, siasatan mendapati kanak-kanak lelaki itu tidur di kaki lima selepas bergaduh dengan ibu bapanya.
“Kanak-kanak itu dimaklumkan tidur di kaki lima selepas perselisihan faham di rumah. Kanak-kanak itu yang masih bersekolah memilih keluar dan tidak mahu tidur di rumahnya.
“Polis kemudian menahan ibu bapa kepada kanak-kanak itu dan mereka memaklumkan anak mereka nakal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, polis sedang menunggu laporan doktor sama ada berlaku penderaan atau tidak ke atas kanak-kanak itu yang dihantar ke hospital.
Kata beliau, polis membuka , kertas siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Semalam, media melaporkan polis telah membuka kertas siasatan susulan penemuan kanak-kanak lelaki yang juga anak kepada penghuni di sebuah pangsapuri di Sungai Way yang tidur di kaki lima di kawasan itu. – UTUSAN