PUTRAJAYA: Pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) akan membolehkan pesalah yang membuang sampah merata-rata dikenakan hukuman khidmat sosial sebagaimana dilaksanakan di negara maju.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tindakan itu dilihat wajar memandangkan kompaun tidak memberi kesan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, hukuman khidmat sosial itu terbukti berkesan seperti diamalkan di Norway, Sweden dan Singapura.
“Saya akan suruh dia (pesalah) buat khidmat sosial termasuk sapu jalan di bawah terik matahari, saya minta buat iklan percuma di media sosial untuk ‘ulat-ulat’ sampah yang suka buang sampah merata tempat,” katanya selepas Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Cuci Malaysia 2024 di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di sini hari ini.
Pindaan Akta 171 itu mencakupi seksyen berkaitan hukuman bagi pesalah yang membuang sampah merata-rata yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun depan setelah mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri.
Pada masa sama, Kor Ming berkata, sudah tiba masanya semua pihak mengambil serius terhadap isu membuang sampah merata-rata, lebih-lebih lagi apabila Malaysia dijadualkan menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara antarabangsa bermula tahun hadapan.
Selain menjadi tuan rumah sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025, negara juga akan menyambut ketibaan pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kita hendak sasarkan ketibaan pelancong asing seramai 35 juta orang dengan pendapatan daripada industri pelancongan kira-kira RM147 bilion.
“Oleh itu amat penting untuk kita beri imej baik kepada negara memandangkan sekarang ini zaman sosial media, sekiranya kita tidak menjaga kebersihan, dan pelancong pula buat video TikTok, nama negara kita pula terjejas,” katanya. – UTUSAN










