Guan Eng setuju guna perantara serah wang elak dikesan SPRM

Guan Eng setuju guna perantara serah wang elak dikesan SPRM

LIM Guan Eng (kanan) bersama Haijan Omar ketika di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Lim Guan Eng bersetuju menggunakan orang perantaraan untuk menguruskan penyerahan wang bertujuan mengelakkan perbuatan itu dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tujuh tahun lalu.

Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli berkata, Guan Eng bersetuju dengan cadangannya supaya G. Gnanaraja bertindak sebagai perantara selepas yakin dengan `kekebalan’ ahli perniagaan tersebut yang merupakan kenalan Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Perdana Menteri ketika itu.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, saksi pendakwaan itu berkata, Gnanaraja paling layak kerana selain `kebal’, beliau juga merupakan ahli Barisan Nasional (BN).

“YB Lim Guan Eng beritahu supaya guna orang perantara untuk menyerahkan wang supaya lain kali saya tidak perlu lagi berbuat demikian kerana takut saya dipantau SPRM.  

“Dalam pertemuan di pejabat YB Guan Eng pada 17 Ogos 2017, saya syorkan kepada beliau agar Gnanaraja dipilih dan beliau bersetuju dan akan bertemunya (Gnanaraja) di Kuala Lumpur tidak lama lagi,” ujar beliau.

Wan Shaharuddin:  Ada maklumkan pada Gnanaraja?

Zarul Ahmad:  Saya hubungi Gnanaraja melalui WhatsApp pada 17 Ogos dan maklumkan berkenaan perantara dan beliau bersetuju.

Wan Shaharuddin:  Kenapa guna Gnanaraja sebagai perantara untuk serahkan wang kepada YB Lim Guan Eng walhal Datuk boleh serahkan sendiri?

Zarul Ahmad:  Banyak sebab kerana ketika itu saya sedang dipantau SPRM, jadi risiko tinggi.  Kemungkinan juga duit akan jadi lebih banyak pada masa akan datang untuk diserahkan kepada YB Lim Guan Eng.

Zarul Ahmad menyatakan demikian pada prosiding mencabar kredibiliti saksi pada perbicaraan kes rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang dihadapi bekas Ketua Menteri itu.

Dalam keterangannya, selepas pertemuan dengan Guan Eng di pejabatnya (17 Ogos), saksi itu turut berkata, beliau kemudian menghubungi Gnanaraja melalui WhatsApp dan memaklumkan Guan Eng akan ke sini dan perkara itu disambutnya dengan nada gembira.

Menjawab soalan Wan Shaharuddin, Zarul Ahmad menjelaskan, ahli perniagaan tersebut gembira kerana beliau berpeluang merapatkan hubungan dengan pemimpin DAP itu.

Menurut Zarul Ahmad berkata, Gnanaraja menggambar perasaannya dengan menyebut `Fantastic Datuk’ ketika dimaklumkan melalui pesanan teks WhatsApp bahawa Guan Eng bersetuju beliau dipilih sebagai perantara untuk menjalankan urusan penyerahan wang.

“Perkara itu juga baik untuk saya kerana dapat menyerahkan wang RM2 juta kepada Gnanaraja dan wang lain pada masa akan datang,” ujar beliau. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN