Berhenti burukkan saya - Noraniza Idris - Utusan Malaysia

Berhenti burukkan saya – Noraniza Idris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris tidak menafikan kontroversi penarikan diri bekas pengarah persembahan dan penulis skrip konsert Qalam Noraniza Idris, Anwar Rusdini sedikit sebanyak memberi impak negatif kepada jualan tiket konsert tersebut.

Kata penyanyi berusia 56 tahun itu, disebabkan isu tersebut, jualan tiket konsert berkenaan terganggu selama beberapa hari selain penyanyi itu terpaksa berdepan kecaman kerana dianggap jahat dan negatif.

“Reputasi saya terjejas apabila isu ini disebarkan. Disebabkannya, jualan tiket konsert saya tergendala tiga hari.

“Orang tuduh saya jahat. Agak teruk juga makian dan kecaman yang saya terima ketika saya bersiaran langsung di TikTok. Yang hormat kita, berubah sikap mereka.

“Kalau ikutkan hati, memang saya nak maafkan sahaja. Tapi kalau saya terus diamkan, orang akan berulang kali ambil kesempatan. Jadi tengoklah macam mana, saya pun sedang bincangkan perkara ini dengan keluarga,” kongsinya yang ditemui selepas sidang akhbar program Keretapi Sarong di ibu negara, dekat sini.

Noraniza sebelum ini terpalit kontroversi selepas timbul dakwaan dia memecat Anwar yang sebelum ini bertindak sebagai pengarah persembahan dan penulis skrip konsert Qalam Noraniza Idris.

Penyanyi lagu Dikir Puteri itu bagaimanapun tampil menafikan dakwaan itu dan menegaskan individu berkenaan menarik diri dan meninggalkan kumpulan WhatsApp secara tiba-tiba.

Noraniza dalam pada itu mengakui kesal dengan sikap tidak profesional Anwar yang menyebarkan perkara itu di media sosial tanpa mengambil pendekatan untuk berbincang secara baik.

“Dia tidak profesional, tak sepatutnya isu ini dia sebarkan di media sosial, seharusnya jumpalah saya secara berdepan.

“Tapi, tidak mengapa. Saya pun tidak meletakkan harapan agar dia tampil berbincang masalah ini. Dia yang buat keputusan untuk tarik diri. Terpulang kepada dia kalau nak selesaikan hal ini. Tapi janganlah selesaikan di media sosial. Itu ibarat memfitnah.

“Dia kena berhenti burukkan saya, bukan sahaja di media sosial, tapi juga kepada orang-orang yang dekat dengan saya,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×