Automasi bantu pacu pembangunan industri

Automasi bantu pacu pembangunan industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebuah kerajaan yang mempunyai ketamadunan yang tinggi, haruslah mempunyai sumber ekonomi berasaskan automasi, teknologi dan inovasi tempatan.

Atas dasar itu, negara perlu mengangkat dan mengembangkan kepentingan penggunaan idea inovatif dan teknologi kreatif dalam mendukung penggunaan automasi dalam pelbagai sektor industri.

Automasi dalam segenap industri amat diperlukan dalam usaha mengeluarkan produk, barangan atau perkhidmatan bermutu tinggi secara besar- besaran dengan kos yang lebih rendah bagi menjamin kebolehsaingan negara dalam menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan dalam jangka masa panjang.

Walaupun begitu, penggunaan teknologi automasi haruslah ditunjangi dengan inovasi yang terkini buatan tempatan.

Tanpa usaha mengeluarkan mesin-mesin serta jentera-jentera inovasi terbaru buatan tempatan, sesuatu kaedah automasi dalam sesebuah segmen industri akan menjadi tidak kompetitif dan tidak akan dapat bertahan lama kerana terlalu bergantung kepada teknologi luar yang mahal dan tenaga pakar daripada negara asal dalam kerja-kerja penyelenggaraan dan membaik pulih mesin serta jentera tersebut.

Pada kaca mata pengguna, kejayaan penggunaan inovasi dan automasi dalam bidang industri sesuatu perusahaan hanya dapat diterjemahkan melalui penawaran harga jualan yang lebih kompetitif mengikut pertambahan nilai yang ditawarkan oleh produk tersebut serta pengurangan jumlah kemasukan buruh asing dalam sektor industri tersebut.

Oleh yang demikian penggunaan inovasi dan automasi dalam industri sangat penting dan perlu diberikan perhatian.

Dengan adanya kepakaran inovasi serta keupayaan dan kapasiti pengeluaran jentera ini, ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang teknikal selain membuka peluang perniagaan bagi vendor-vendor kecil mengeluarkan komponen kecil yang akan menambah keupayaan industri tempatan mengeluarkan berbagai-bagai lagi mesin industri berat.

Oleh yang demikian, negara perlu merangka Dasar Industri Berat yang bersandarkan kepada Pelan Tindakan Pembangunan Inovasi Nasional.

Tanpa perancangan yang tersusun dan teliti, dikhuatiri negara kita akan menjadi pusat lambakan produk luar yang akan membunuh daya saing pemain industri tempatan dan mungkin mengakibatkan negara kita menjadi pengeksport tenaga mahir dan separa mahir ke negara. – UTUSAN

Norshahrizal Nordin
Pengerusi Persatuan
Usahawan Rekacipta dan Inovasi Malaysia (PURIM)

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang ingin menyumbangkan saranan atau kritikan terhadap sesuatu isu atau topik berkaitan pembelajaran dan pendidikan boleh e-melkan ke [email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN