GEORGE TOWN: Hampir separuh daripada 15,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di lima negeri termasuk 2,000 perempuan dikesan ketagih vape.
Tinjauan selama tiga tahun dari 2021 oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) terhadap 15,000 pelajar sekolah di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendapati 8,000 daripada mereka menghisap vape.
Daripada jumlah itu, 2,000 adalah pelajar perempuan selain 4,000 dalam kalangan murid sekolah rendah turut menghisap vape.
Pegawai Penyelidik dan Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, gejala itu membimbangkan berikutan vape begitu mudah diperoleh dibeli di kedai-kedai runcit tanpa kawalan, umpama membeli aiskrim.
Jelas beliau, vape dan e-rokok bukanlah isu baharu malah telah menular dalam kalangan remaja sekolah dan dibimbangi menjadi satu budaya yang memudaratkan golongan itu.
”Mereka mudah beli vape pada masa ini. Kalau kita pergi ke kedai-kedai runcit, vape boleh dibeli dengan mudah seperti membeli aiskrim kerana tiada kawalan daripada pihak berkuasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mengulas lanjut, Subbarow berkata, CAP amat bimbang dengan situasi pada masa kini kerana sekiranya kawalan terhadap produk mengandungi nikotin ini tidak dilaksanakan, ia akan mengakibatkan lebih ramai anak muda terjebak dengan vape.
”Kami bimbang kerana pada masa depan kita akan menghasilkan generasi muda yang ketagih dengan nikotin.
”Vape lebih digemari orang muda kerana baunya tidak kuat seperti rokok tradisional malah ada perisa buah-buahan amat yang menarik minat orang muda,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, tinjauan juga mendapati 1,000 kanak-kanak terbabit tidak membeli atau menggunakan wang sendiri untuk membei vape, sebaliknya memperoleh dari rumah sendiri kepunyaan nenek, bapa atau abang mereka.
Katanya, mereka mencuba apabila tiada sesiapa di rumah.
“Yang menarik adalah mereka beritahu saya nama perisa, kedai mana, harga dan perasaan selepas ambil vape yang mengandungi nikotin. Tapi mereka tidak tahu bahaya nikotin atau apa ada dalam perisa,” ujarnya.
Di peringkat universiti pula jelas Subbarow, tabiat menghisap vape adalah dalam situasi krisis.
“Banyak pelajar yang saya berbual yang tak ambil vape akui rakan mereka hisap vape dalam universiti. Mereka guna banyak wang untuk beli perisa vape. Purata adalah empat pelajar perempuan untuk enam pelajar lelaki,” katanya.
Beliau berkata, vape dan e-rokok di institusi pengajian tinggi tempatan adalah budaya baharu berikutan ramai pelajar universiti di luar negara menghisapnya.
“Pelajar negara kita pun mahu ikut sebab keluarga mereka tinggal jauh. Pihak pentadbir universiti kena ambil tindakan tegas dengan budaya barat ini. Banyak pelajar akui mereka beli secara dalam talian.
“Kedai tepi jalan pun ada banyak yang jual vape dengan harga murah, RM5 hingga RM10,” jelasnya.
Tambahnya, pada masa ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati 16,000 perisa vape di pasaran dan tidak mustahil pengeluar mempelbagaikannya lagi perisa untuk menarik lebih ramai pelanggan baharu.
Dalam pada itu, katanya, pelbagai negara antaranya Singapura dan Thailand telah mengharamkan penggunaan vape di negara masing-masing.
”Namun, sebaliknya berlaku apabila Malaysia menjadi ‘syurga’ kepada penghisap vape. Di pusat bandar George Town sahaja kedai-kedai vape tumbuh dengan pesat,” katanya. – UTUSAN










