1BestariNet: SPRM kaji sama ada jalur lebar dibekalkan ke 8,000 sekolah?

1BestariNet: SPRM kaji sama ada jalur lebar dibekalkan ke 8,000 sekolah?

Tan Sri Azam Baki ketika sidang akhbar pada Persidangan Penyelidikan Governan, Integriti dan Anti Rasuah peringkat kebangsaan kali-3 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Fokus siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion akan difokuskan terhadap mutu pembekalan jalur lebar kepada 8,000 sekolah di seluruh negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi siasatan ini, pegawai penyiasat perlu melihat pembekalan data atau jalur lebar yang sepatutnya diberikan kepada sekolah-sekolah sama ada dibekalkan atau tidak.

Kata beliau, ini kerana kesemua sekolah terlibat sepatutnya diberikan kelajuan jalur lebar tertentu memandangkan tuntutan telah dibuat oleh YTL Communications Sdn Bhd (YTL) secara berterusan sejak kontrak bermula pada 2011.

“Ini semua kita (SPRM) kena kaji betul atau tidak data dibekalkan selain kita (SPRM) perlu lihat pembekalan itu dibuat atau tidak.

“Kalau ada tuntutan yang dibuat perlu dipastikan betul atau tidak dan ini menjadi tanggungjawab pegawai penyiasat untuk sahkan kebenaran,” katanya dalam sidang akhbar pada Persidangan Penyelidikan Governan, Integriti dan Anti Rasuah peringkat kebangsaan kali-3 di sini hari inI.

Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan SPRM terhadap isu ini akan dilakukan di bawah undang-undang rasuah.

Kata beliau, sekiranya hasil dapatan mendapati ada tuntutan dibuat tetapi jalur lebar berkenaan tidak dibekalkan sudah semestinya ia satu kesalahan.

“Banyak perkara yang kita perlu siasat dan pegawai saya sedang melihat perkara ini. Semua isu yang dibangkitkan semua pihak menjadi tumpuan kita (SPRM) siasat dan ia memerlukan masa yang panjang lagi.

“Banyak tempat perlu kita lawati kerana kes ini melibatkan 8,000 sekolah jadi bayangkan kes ini akan mengambil masa sedikit,” jelasnya.

Pada 4 September lalu, SPRM telah memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet.

Siasatan itu bermula selepas SPRM penggeledahan di pejabat kerajaan dan pejabat YTL di ibu negara, hari ini.

Hasil penggeledahan itu, sejumlah dokumen disita dan SPRM sedang mengkaji bagi mengenal pasti saksi yang akan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan.

Siasatan menjurus kepada dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu membabitkan pembayaran kira-kira RM2.7 bilion.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2019 disaran menjalankan satu penilaian holistik terhadap keberkesanan projek perkhidmatan 1BestariNet Fasa 2 berikutan pelaksanaannya sebelum ini disifatkan tidak menyeluruh.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, secara keseluruhannya 1BestariNet menyediakan kemudahan jalur lebar dan persekitaran Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) melalui Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya/Virtual Learning Environment (VLE) kepada semua sekolah di bawah KPM.

Audit dijalankan pada Oktober 2018 hingga Mac 2019 itu menyatakan bahawa 3,698 daripada 10,185 sekolah tidak pernah mencapai KPI penggunaan Frog VLE pada 2018, manakala hanya 0.8 peratus daripada 423,566 guru telah membangunkan laman pembelajaran dan diterbitkan dalam Frog Store pada 2018.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN