Wira lawan Sulu, Mohd. Azrul dianugerah Tokoh Kemerdekaan Selangor - Utusan Malaysia

Wira lawan Sulu, Mohd. Azrul dianugerah Tokoh Kemerdekaan Selangor

Mohd. Azrul
AZLIN Tukiran mengiringi ibunya, Sa'adiah Amin menerima Anugerah Tokoh Kemerdekaan Selangor 2024 bagi pihak Allahyarham Mohd. Azrul Tukiran daripada Amirudin Shari pada Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-67 Peringkat Selangor, di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Wira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas Sulu di Semporna, Sabah pada 11 tahun lalu, Allahyarham Koperal Mohd. Azrul Tukiran diangkat sebagai Tokoh Kemerdekaan Selangor 2024 oleh kerajaan negeri dalam Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-67, malam tadi.

Anggota polis itu merupakan antara enam anggota polis yang terkorban bersama Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, Deputi Superintendan Michael Padel; Sarjan Mejar Baharin Hamit; Sarjan Mejar Abdul Aziz Sarikon dan Sarjan Salam Togiran pada 2 Mac 2013.

Kakak allahyarham, Azlin Tukiran berkata, meskipun kehilangan orang tersayang, namun dia dan ahli keluarganya berbangga pemergiannya adalah kerana mempertahankan negara.

“Setiap hari kami sekeluarga tidak lupa berdoa supaya Allahyarham ditempatkan ke dalam syurga bersama-sama orang soleh.

“Kami sekeluarga berbangga dengan apa yang Allahyarham lakukan walaupun dia akhirnya terkorban ketika menentang pengganas Sulu,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-67 Peringkat Selangor, malam tadi.

Terdahulu, Azlin bersama ibunya, Sa’adiah Amin mewakili arwah mengambil anugerah Tokoh Kemerdekaan Selangor 2024 yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Tambahnya, bagaimanapun tidak dinafikan pemergian Mohd. Azrul tetap menjadi sebuah kehilangan dan terus merindui adiknya itu.

Allahyarham yang dilahirkan di Rantau Panjang, Klang dekat sini mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 15 Jun 2006.

Ketika peristiwa pencerobohan tersebut, Mohd. Azrul sedang bertugas di Kampung Simunul, Semporna.

Dalam pada itu, Azlin menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Selangor yang memberi pengiktirafan kepada adiknya atas jasa yang diberikannya.

“Apa yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri boleh memberikan inspirasi dan galakkan kepada generasi muda untuk menyertai pasukan keselamatan bagi menjaga tanah air kita.

“Saya harap orang ramai akan menghargai semua anggota keselamatan yang terkorban sebelum ini untuk mempertahankan negara tidak kira ketika Ops Daulat atau semasa sebelum kemerdekaan sekalipun,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN