Warga emas terlantar terima MyKad baharu

Warga emas terlantar terima MyKad baharu

SHAH Inor (tengah) menyerahkan MyKad baharu kepada Sabri di kediamannya di Kampung Surau, Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH : Seorang warga emas yang terlantar sakit bersyukur apabila MyKad miliknya yang hilang sejak setahun lalu telah diganti menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang.

Lebih istimewa, kad pengenalan Sabri Saad, 67, diserahkan sendiri oleh Pengarah JPN negeri, Shah Inor Shahbudin di kediamannya di Kampung Surau, Seberang Jaya di sini, semalam.

Sabri berkata, dia kehilangan kad pengenalannya ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital tahun lalu.

Katanya, pelbagai kesukaran dihadapi rentetan kehilangan tersebut termasuk kegagalan untuk mengeluarkan wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM500.

“Sebelum ini, wang itu dikeluarkan oleh jiran yang banyak membantu memudahkan urusan saya.

“Bagaimanapun, selepas kehilangan MyKad, wang terbabit tidak dapat dikeluarkan sekali gus menyukarkan urusan bulanan saya.

“Lembaga Zakat Pulau Pinang (ZPP) ada juga datang melawat dan mahu membantu, namun, mereka meminta saya untuk memohon kad pengenalan baharu terlebih dahulu bagi memudahkan urusan bantuan disalurkan,” katanya.

Sementara itu, Shah Inor berkata, Sabri adalah pemohon ke-100 yang dibantu dalam program MEKAR Ihsan bagi tahun ini.

“Program ini dibahagikan kepada lima kategori iaitu MEKAR Ihsan, MEKAR Komuniti, MEKAR Identiti, MEKAR Pahlawan dan MEKAR Diaspora.

“Diharapkan, dengan penyerahan MyKad ini, ia akan memudahkan beliau mengeluarkan semula wang bantuan yang diperolehinya selain melancarkan urusan bantuan yang akan disalurkan oleh pihak-pihak lain.

Dalam pada itu, Shah Inor memberitahu, mana-mana individu atau pihak yang berdepan dengan masalah seumpama itu boleh merujuk kepada JPN Pulau Pinang untuk bantuan.

“Kita tidak lantik sebarang ejen atau pihak ketiga, sebaliknya, kami sendiri akan turun ke lapangan untuk mendapatkan maklumat teperinci bagi permohonan penggantian MyKad,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN