KUALA LUMPUR: Wanita UMNO menuntut supaya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diberikan kepada calon pergerakan sayap berkenaan.
Ketuanya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, legasi Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain perlu dipertahankan.
Selain itu, menurut beliau, sayap itu juga tidak ketandusan calon yang diperlukan bagi mempertahankan kemenangan Barisan Nasional (BN).
“Kita memang mahukan kemenangan di DUN Mahkota, jadi kita menuntut agar kerusi DUN Mahkota diberikan kepada calon Wanita.
“Malam ini kita harapkan wakil MKT (Majlis Kerja Tertinggi) supaya bawa hasrat calon DUN Mahkota daripada Wanita.
“Insya-Allah Wanita akan kerja kuat, saya percaya semua akan turun padang. Kita nak fokus untuk menang jadi kita akan jadikan kemenangan di Nenggiri sebagai pencetus semangat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan mengutamakan calon yang mempunyai kriteria ‘WALI’ untuk mewakili BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.
Katanya, kriteria ‘WALI’ itu merujuk kepada Winnability (boleh menang), Acceptability (kebolehterimaan) dan Likeability (disenangi).- UTUSAN










