IPOH: Golongan wanita mudah menjadi sasaran penipuan love scam walaupun banyak laporan mengenainya didedahkan.
Asisten Superintenden Mohamad Mahathir Abdullah Sapawi dari Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM Perak berkata, golongan wanita kesunyian berusia 40 tahun ke atas mempunyai kecenderungan melayan individu tidak dikenali yang menjadi faktor utama terjerat dengan penipuan atau ‘love scam.
“Mangsa love scam’ kebiasaannya adalah golongan wanita yang berusia 40 tahun ke atas kerana rata-rata wanita di usia begini tidak mempunyai masalah kewangan, mereka sudah ada duit sendiri.
“Wanita yang sering menjadi mangsa adalah daripada golongan profesional seperti doktor, pensyarah dan lain-lain,” katanya pada ceramah Program Kesedaran Jenayah Komersil Selamatkan Wanita dari Love Scammer di Kolej Antarabangsa Taj di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Kolej Antarabangsa Taj yang juga Pemenang Anugerah Wanita Ikon Perak 2024/2025, Tina Tajuddin.
Menurut Mohamad Mahathir, mangsa berkenalan dengan suspek melalui media sosial dan suspek menyamar sebagai juruterbang, peniaga, tentera atau jurutera syarikat minyak dan gas.
Menurutnya, suspek menggunakan kata-kata manis sehingga mangsa jatuh cinta.
“Kira-kira dalam masa tiga bulan, mangsa boleh jatuh cinta, paling cepat, dalam masa satu bulan sahaja mangsa diperdaya.
“Suspek memperdaya mangsa dengan alasan seperti mahu memberi hadiah, pelaburan perniagaan, wasiat termasuk pembayaran bil hospital,” katanya.
Beliau berkata, dalam kes seperti itu polis tidak dapat memberi jaminan boleh mendapatkan semula wang mangsa yang diperdaya kerana identiti suspek sukar dikenal pasti.
Jelasnya, ini kerana akaun bank suspek merupakan akaun bank mangsa yang diperdaya atau lebih dikenali sebagai keldai akaun.
“Keldai akaun yang akan disoal siasat oleh pihak polis namun identiti scammer tidak dapat dikenal pasti kerana keldai akaun juga merupakan mangsa,” katanya. – UTUSAN










