BUKIT MERTAJAM : Kes pergaduhan yang tular antara dua lelaki di Simpang Kampung Juru, Bukit Tengah di sini hari ini berjaya diselesaikan dengan cara yang baik.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, terdahulu, pihaknya terkesan dengan satu rakaman video yang dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook yang memaparkan pergaduhan antara dua pemandu pada pukul 8.10 pagi tadi.
“Kejadian itu membabitkan seorang lelaki iaitu pengadu yang memandu kereta keluar dari simpang tiga lampu isyarat di simpang Kampung Juru, Bukit Tengah dan dikatakan telah menghalang sebuah bas kilang yang datang dari arah yang sama.
“Pemandu bas kilang tersebut kemudian membunyikan hon panjang dan tindakan itu menyebabkan berlakunya perselisihan faham antara kedua-dua lelaki terbabit.
“Polis telah menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan mendapati, video terbabit telah dipadamkan oleh pemilik akaun (Facebook) ketika ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Helmi, kedua-dua pihak yang terlibat telahpun menyelesaikan kes itu secara damai dan pengadu juga tidak mahu meneruskan siasatan.-UTUSAN







