Tujuh kakitangan SUK, Mahkamah Selangor parah, bas terbabas elak motosikal - Utusan Malaysia

Tujuh kakitangan SUK, Mahkamah Selangor parah, bas terbabas elak motosikal

Bas SUK
KEADAAN bas milik SUK membawa penumpang terdiri daripada kakitangan Mahkamah Selangor terlibat dalam kemalangan dekat Jalan Simpang Morib (Kampung Kelanang - Taman Dawai), Banting, di Kuala Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Tujuh termasuk pemandu parah apabila sebuah bas Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang dinaiki bersama 15 penumpang lain terlibat dalam kemalangan dekat Jalan Simpang Morib (Kampung Kelanang – Taman Dawai), Banting, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, bas yang membawa 19 orang penumpang dan seorang kelindan itu dikatakan terbabas dalam parit berkedalaman 2 meter di lokasi kejadian selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Penumpang terdiri daripada seorang kelindan dan kakitangan Mahkamah Shah Alam berusia antara 30-an hingga 40-an dikatakan dalam perjalanan ke sana untuk menghadiri kursus keselamatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.18 tengah hari sebelum mengerahkan sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dan Telok Panglima Garang.

Menurutnya, kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu bas yang cuba mengelak motosikal, bagaimanapun nasib penunggangnya tidak diketahui kerana gagal dikesan.

“Kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah bas milik (SUK) Selangor terbabas ke dalam parit berkedalaman dua meter. Terdapat 21 orang mangsa terdiri daripada 15 perempuan dewasa dan enam lelaki dewasa di dalam bas.

“Dua lelaki termasuk pemandu serta kelindan dan empat wanita alami cedera parah, manakala 15 yang lain cedera ringan. Pemandu bas tersepit di bahagian pemandu dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dilakukan oleh pihak bomba,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, kesemua mangsa cedera dibawa oleh ambulans ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Langat sudah dihubungi untuk mendapatkan pengesahan lanjut berhubung insiden tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×