Timbalan Pengarah DBKL, pembantu didakwa rasuah lindungi pusat hiburan haram - Utusan Malaysia

Timbalan Pengarah DBKL, pembantu didakwa rasuah lindungi pusat hiburan haram

DBKL rasuah
ZAHARI Muhammad (kanan) dan atasannya, Muhammad Irwan Abdullah (tiada dalam gambar) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Timbalan Pengarah Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pembantunya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan rasuah bagi melindungi aktiviti pusat hiburan tanpa lesen tahun ini.

Tertuduh, Muhamad Irwan Abdullah, 44, dan Zahari Muhammad, 34, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Berdasarkan dua pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama meminta RM200,000 dan menerima RM160,000 secara bulanan daripada seorang lelaki berusia 62 tahun. sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pusat hiburan tanpa lesen di bawah jagaan lelaki berkenaan.

Muhamad Irwan yang juga Timbalan Pengarah Penguatkuasa dan bapa kepada lima anak itu turut didakwa menerima suapan berjumlah RM130,000 daripada individu itu atas tujuan sama.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Puchong antara Februari hingga 5 Jun lalu.

Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta SPRM.

Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pada prosiding sama, seorang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut didakwa memperoleh suapan RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 42 tahun supaya tidak menguatkuasakan sepenuhnya Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 yang dilanggar syarikat itu.

Tertuduh, Azrin Ramli, 48, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah premis perniagaan di Hulu Langat pada 4.26 petang, 24 Mei lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwanya, Mohd. Aliff Shaharuzaman sementara pembelaan pula masing-masing diwakili peguam Mak Kah Keong, Ahmad Faiz Munawar dan K. Vasudevan Appu dengan alasan mempunyai tanggungan keluarga.

Anita kemudian menetapkan jaminan keseluruhan RM15,000 kepada Muhamad Irwan dan Zahari manakala RM10,000 bagi Azrin dengan seorang penjamin.

Kesemua tertuduh turut diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM. Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 September dan 2 Oktober depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×