PETALING JAYA: Hukuman mati mandatori bagi kes-kes jenayah berat seperti pembunuhan tidak perlu diwujudkan kembali di negara ini.
Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, undang-undang tidak boleh dijadikan sebagai bahan mainan dan cadangan untuk mengembalikan hukuman mati mandatori merupakan satu perkara yang tidak wajar.
Kata beliau, hukuman mati masih dilaksanakan bagaimanapun hakim diberi ruang luas untuk menentukan hukuman lebih setimpal kepada mereka yang didapati bersalah.
“Katakan awak pergi jumpa seseorang untuk menyelesaikan masalah keluarga tetapi berlaku pergaduhan sehingga hilang kewarasan dan awak tumbuk orang itu tanpa sedar dia mempunyai penyakit lalu menyebabkan kematian. Adakah perlu dihukum gantung? Sedangkan pergi tanpa niat nak membunuh.
“Saya harap semua pihak boleh berfikir secara rasional dan tidak mengikut emosi semata-mata, jika kita kembalikan hukuman mandatori lalu kemudian terjadi pada diri sendiri, kenalan ataupun keluarga baru nak menangis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pada 4 Julai 2023, hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat di Malaysia dimansuhkan.
Ini selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.
Haniff berkata, kuasa untuk menentukan hukuman terhadap kes pembunuhan perlu diberi kepada hakim untuk ditentukan adalah kerana terdapat beberapa kategori bunuh. – UTUSAN







