Tiada ledakan kes Covid-19 - Dr. Dzulkefly - Utusan Malaysia

Tiada ledakan kes Covid-19 – Dr. Dzulkefly

Ledakan Covid-19
DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Situasi Covid-19 di negara ini terkawal dan tiada ledakan kes direkodkan termasuklah jumlah kes jangkitan dan kemasukan pesakit ke hospital selepas dua tahun memasuki transisi endemik setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, situasi tersebut berdasarkan data terbaharu yang diperoleh Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara.

“Terkini, KKM mendapati tiada berlaku ledakan kes berkaitan Covid-19 termasuk pesakit yang dimasukkan ke wad atau Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Namun, kita tidak mahu terlalu selesa dan akan terus memantau institusi kesihatan awam termasuk membuat hebahan umum jika berlaku peningkatan kes,” katanya selepas melancarkan Kampung Angkat Madani KKM, hari ini.

Pada Jun lalu, KKM menetapkan keputusan ujian Covid-19 kini tidak perlu lagi dimuat naik ke aplikasi MySejahtera namun hanya akan dilaporkan pengamal perubatan melalui sistem eNotifikasi.

Selain itu, ujian pengesahan kes hanya akan dilakukan melalui kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) profesional oleh petugas kesihatan dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR).

Perincian semakan semula prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 juga meliputi tiga perkara iaitu perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO), pemakaian pelitup muka dan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan.

Jelas Dzulkefly, rakyat Malaysia kini perlu meneruskan fasa hidup dengan Covid-19 yang sama dengan virus sedia ada lain.

“Kita pada hakikatnya kini tiada lagi pemberian vaksin dan arahan untuk dikuarantin seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Namun, mereka yang bergejala itu perlu berpelitup muka dan membuat pemeriksaan di fasiliti perubatan sekali gus melindungi orang lain daripada dijangkiti,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihaknya turut menasihatkan golongan rentan terutama warga emas dan komorbiditi berwaspada terutama ketika berada di kawasan padat atau sempit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN