KUALA LUMPUR: Puteri UMNO diseru untuk terus setia dan istiqamah bersama UMNO dalam memperjuang nasib parti itu pada masa akan datang.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, setiap perkara yang dilakukan oleh Puteri UMNO perlu berlandaskan teras parti sebagai panduan.
“Akhir kata, sejauh mana kita pergi, setinggi mana kita daki, letakkan kaki kita kepada asas perjuangan parti. Jadikan teras kita sebagai panduan dalam apa juga yang dilakukan. Berbaktilah kepada agama, berkhidmatlah untuk bangsa, dan berjasalah kepada nusa.
“Saya rangkumkan ucapan-ucapan rakan-rakan kita pada perhimpunan kali ini untuk terus setia dan istiqamah bersama parti. Ini rumah kita. Selamanya rumah kita. Sampai bila-bila, akan kita jaga.
“Tahniah, kerana masih di sini. Tahniah kerana terus menjadi penyambung generasi parti. Tahniah kerana bersama meneruskan perjuangan ini,” katanya pada sesi penangguhan Perhimpunan Pergerakan Puteri UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur 2024 di sini hari ini.
Terdahulu, seramai 18 pembahas Puteri UMNO membentangkan usul berkaitan politik, pendidikan, sosioekonomi, mahasiswa serta belia dan dua daripadanya sebagai pencadang dan penyokong usul ucapan dasar Ketua Puteri UMNO.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan tiga teras utama yang disebut dalam ucapan dasarnya melibatkan Agama, Pendidikan dan Ekonomi sebagai tekad Puteri UMNO mengembalikan sokongan anak muda.
“Kita telah tekankan tiga teras yang menjadi nadi perjuangan kita. Selaku ahli UMNO, kita mempunyai tanggungjawab untuk mengangkat teras ini melalui gerak kerja yang berterusan.
“Bergeraklah Puteriku sekalian. Ingatlah, kita adalah bayangkara agama, bangsa, dan nusa. Kita perlu bersama-sama berusaha menarik kembali sokongan anak muda kepada UMNO. Inilah tekad Puteri UMNO,” katanya. – UTUSAN










