KLANG: Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin akhirnya berdamai selepas kedua-dua pemimpin itu saling bersalaman dan berpelukan di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Setiausaha Politik kepada Ahmad Zahid itu sebelum ini berselisih sehingga Tengku Zafrul meletakkan jawatan sebagai Bendahari UMNO Selangor pada April lalu.
Hal tersebut diminta Ahmad Zahid sendiri yang mahu Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu diberi sokongan penuh termasuk daripada bahagian Kota Raja sendiri.
Jagalah hubungan baik-baik dengan datuk megat,harap-haraplah perkara yang lepas kita ketepikan, dalam politik berkecil hati itu biasalah.
“Dengan ini saya mengarahkan Tengku Zafrul dan Megat Zulkarnain mari berdiri saya serahkan kepada mereka berdua buatlah apa-apa yang patut,” katanya ketika berucap pada Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja, hari ini.
Terdahulu, Tengku Zafrul dilapor tidak berpuas hati dengan kepemimpinan badan perhubungan UMNO negeri ini apabila mendakwa perancangan kebangkitan parti itu di Selangor sebagai hambar, dan tidak sehaluan dengan tema di UMNO Pusat.
Malah, dakwanya pelaksanaan yang berlaku adalah bertentangan dengan usaha Presiden UMNOdan kepimpinan parti yang katanya tidak henti-henti merangka jalan kebangkitan parti di peringkat kebangsaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mendakwa Tengku Zafrul mempunyai masa depan yang cerah bersama dengan UMNO dengan syarat beliau perlu turun ke akar umbi dan melayani permintaan dan permasalahan yang ada.
“Begitu juga pemimpin-pemimpin yang ada, Tengku Zafrul, you have a very bright future, dengan satu syarat turun ke bawah layani semua akar umbi.
“Saya mengharapkan akar umbi UMNO Bahagian Kota Raja, berikanlah dukungan penuh kepada Tengku Zafrul sebagai ketua bahagian, saya yakin beliau bukan hanya aset di Kota Raja tetapi aset untuk Selangor dan negara,” jelasnya. – UTUSAN










