SUKMA 2024: Selangor tawar RM10,000 kepada atlet, mahu raih juara kali ke-10 - Utusan Malaysia

SUKMA 2024: Selangor tawar RM10,000 kepada atlet, mahu raih juara kali ke-10

SUKMA Selangor
AMIRUDIN Shari bersama pegawai dan para atlet Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor menawarkan insentif RM10,000 kepada atletnya yang berjaya meraih pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) kali ke-21 di Sarawak sebagai usaha memastikan negeri itu menjadi juara buat kali ke-10.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ganjaran itu merupakan jumlah paling tinggi disediakan kerajaan negeri menerusi skim yang ditetapkan.

“Atlet individu yang memenangi emas akan menerima ganjaran RM10,000, manakala RM5,000 seorang bagi kepada atlet berpasukan di bawah lima pemain.

“Bagi tlet berpasukan seperti bola sepak, hoki dan ragbi yang melebihi lima pemain, ganjaran RM3,000 seorang akan diberikan kepada mereka jika berjaya meraih emas,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan bendera kontinjen, hari ini.

Temasya Sukma bermula 17 Ogos hingga 24 Ogos ini akan berlangsung di sekitar Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Selangor meletakkan sasaran meraih 61 pingat emas bagi edisi kali ini sekali gus menempatkan negeri itu dalam kelompok tiga teratas. Kontinjen negeri menghantar kekuatan seramai 1,050 orang termasuk 704 atlet yang akan menyertai kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan.

Beliau menambah, prospek emas memfokuskan kepada acara sukan seperti renang, berbasikal, olahraga dan memanah.

“Namun, kita turut menumpukan semua sukan lain termasuk judo dan memanah yang turut berpotensi meraih emas kepada Selangor.

“Kita meletakkan sasaran 61 emas itu sebagai angka realistik selepas melihat pencapaian atlet di peringkat kebangsaan dan persediaan rapi kontinjen,” ujarnya.

Kata Amirudin lagi, ganjaran bagi pemenang pingat perak dan gangsa akan diumumkan kelak berikutan pihaknya lebih mensasarkan emas.

Untuk rekod, Selangor menduduki tempat keempat pada Sukma 2022 dengan memperoleh kutipan pingat sebanyak 32 emas, 54 perak dan 45 gangsa.

Kontinjen negeri kekal sebagai satu-satunya negeri yang menjuarai temasya itu sebanyak sembilan kali dengan kali terakhir pada 2016.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN