Sukar teruskan kerja meroboh rumah di Bukit Malut

Sukar teruskan kerja meroboh rumah di Bukit Malut

PENEMPATAN haram di Bukit Malut, Langkawi yang dibimbangi boleh menjejaskan imej pulau peranginan itu. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kerja-kerja me­roboh rumah yang dibina secara haram di atas tanah milik Permodalan Kedah Berhad (PKB) di Bukit Malut, di sini tidak dapat diterus­kan walaupun sudah mendapat perintah mahkamah.

Satu sumber memaklumkan, pihak PKB sememangnya mahu mengambil semula ta­nah berkeluasan 16.19 hektar itu, namun berdepan kekangan untuk menempatkan semula penduduk di situ.

“Jika berdasarkan arahan dikeluarkan oleh Pengerusi PKB merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memang PKB sepatutnya terus melakukan kerja-kerja meroboh rumah-rumah di situ.

“Tetapi timbul persoalan ke mana penduduk di situ akan pergi yang dibimbangi akan mencetuskan krisis lain pula di Pulau Langkawi sekiranya mereka tiada tempat tinggal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini mela­porkan selepas lebih dua tahun isu pencerobohan tanah kerajaan di Bukit Malut di sini didedahkan, penduduknya yang sebahagian besar besarnya warga Melayu Islam Kedah (MIK) terus menjalani kehidupan seperti biasa.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, situasi di penempatan itu seolah-olah tiada apa yang berlaku walaupun tindakan meroboh beberapa rumah oleh PKB pernah dilakukan pada 2022.

Sumber itu berkata, daripada 41 buah rumah yang menerima notis pengusiran ketika itu, hanya 12 rumah yang masih dalam pembinaan atau tidak berpenghuni yang dirobohkan sepenuhnya.

“Selebihnya tidak dirobohkan pun kerana masih terdapat penghuni dan proses merobohkan ketika itu pula dilakukan sebagai amaran kepada penduduk lain agar tidak terus menceroboh tanah PKB atau membina rumah secara haram.

“Tidak pasti sampai bila isu ini akan berlarutan kerana pihak-pihak terlibat seolah-olah tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya menunggu tindakan seterusnya di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertanggungjawab terhadap penempatan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN