KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 4 September ini bagi memuktamadkan representasi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad berkaitan lima kes rasuah berhubung projek Jana Wibawa dan tujuh kes pengubahan wang haram (AMLA).
Hakim Suzana Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadly Mohd. Zamry memaklumkan pihaknya masih belum menerima keputusan representasi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ujar beliau, pihak pendakwaan menerima tarikh baharu daripada AGC bahawa status representasi akan dimaklumkan pada 28 Ogos ini.
Sehubungan itu, Mohamad Fadly memohon tarikh perbicaraan esok ditangguhkan sementara menunggu perkembangan representasi berkenaan.
Sementara itu, peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan tiada bantahan terhadap penangguhan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.
Adam Radlan, 43, mengemukakan representasi kepada AGC pada 4 Julai lalu, lima hari sebelum perbicaraan bermula pada 9 Julai.
Sementara itu, pada hari pertama perbicaraan, mahkamah mendengar keterangan Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), R. Harshini, 34, yang menyatakan, Adam Radlan adalah pengarah dan pemegang saham bagi syarikat Bayu Bumiraya Sdn. Bhd..
Dalam pernyataan saksinya, Harshini berkata, tertuduh menjawat jawatan itu bermula tarikh lantikan pada 9 Oktober 2013 hingga 25 Januari 2023.
Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh, daripada Mat Jusoh yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy.
Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah, kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Tian Chuan, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 dan Januari 2023. –UTUSAN










