Sindiket seludup kenderaan mewah RM27.4 juta tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket seludup kenderaan mewah RM27.4 juta tumpas

Kereta mewah
NORLELA Ismail menunjukkan kereta mewah disimpan dalam sebuah kontena, pada sidang akhbar dekat Wisma Kastam Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan dua sindiket penyeludupan kenderaan mewah dengan rampasan bernilai RM27.45 juta di Pelabuhan Utara di sini, Jun lalu.

Kesemua 217 kenderaan pelbagai jenama termasuk kenderaan elektrik (EV) itu dirampas JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) dirampas dalam 84 kontena menerusi dua operasi berasingan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, perkara itu dikesan pihaknya selepas menjalankan pemeriksaan rapi di Zon Bebas pelabuhan berkenaan pada 25 dan 27 Jun lalu.

Menurutnya, rampasan pertama melibatkan penahanan 67 kontena yang membawa 200 kenderaan dengan nilai cukai berjumlah RM22.6 juta.

“Operasi kedua pula berjaya menahan 17 kontena yang mengandungi muatan 31 kenderaan bernilai RM4.7 juta. Kenderaan yang dirampas itu antaranya Mini Cooper, Toyota Alphard dan model kenderaan EV,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Norlela memberitahu, siasatan awal mendapati pengimportan dagangan itu tiada permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Kita percaya semua kenderaan itu bagi pasaran tempatan namun kedua-dua kes melibatkan sindiket berbeza. Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merekodkan keterangan pihak pengimport tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan.

“Justeru, orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan kerana ia merugikan negara sama ada kehilangan hasil dan ancaman keselamatan rakyat.

“Sebarang maklumat mengenai aktiviti penyeludupan boleh disalurkan menerusi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berdekatan. Identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN