PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesahkan menerima laporan penggunaan gelaran `Datuk Seri’ palsu melibatkan darjah kebesaran Pahang daripada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang dikaitkan dengan ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penggunaan gelaran yang tidak wajar itu dikesan oleh lelaki terbabit sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, susulan itu, beberapa peralatan darjah kebesaran palsu telah dirampas daripada lelaki tersebut.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti suspek lain yang terlibat dalam sindiket pemalsuan darjah kebesaran Pahang.
“Polis menasihatkan mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan darjah kebesaran palsu kerana ia merupakan satu kesalahan jenayah.
“Dalam kes ini, penama boleh dituduh di bawah Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar Pahang 2017 kerana telah menggunakan gelaran tidak wajar bagi tujuan perniagaan),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, jika disabitkan, pelaku boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Rabu lalu, media melaporkan polis menjalankan siasatan terhadap dakwaan gelaran Datuk Seri palsu kurniaan Istana Pahang yang dikaitkan dengan seorang ahli lembaga pengarah sebuah syarikat telekomunikasi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tindakan sedang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Pahang.
“Saya sahkan ada terima laporan kes ini dan sedang merakam keterangan beberapa saksi,” katanya.
Difahamkan, satu laporan berhubung kes itu telah dibuat di Kuantan, Pahang pada 26 Julai lalu.
Semakan di laman rasmi syarikat telekomunikasi itu mendapati individu itu dilantik sebagai ahli lembaga pengarah sejak 1 September 2022.
Sebelum ini, satu portal berita mendedahkan laporan polis yang dibuat membabitkan kes itu.- UTUSAN







