KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung isu dakwaan pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor kepada syarikat yang dikaitkan dengan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sedang dilengkapkan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan dan dijangka siap dalam masa terdekat ini.
“Kita melihat beberapa perkara yang perlu ditambah baik pada masa akan datang terutama isu tata kelola apabila membabitkan saudara mara dan sebagainya.
“Saya rasa dalam tempoh sebulan dua ini siaplah kertas siasatan terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan, di Hotel Royale Chulan di sini, semalam.
Hadir sama, Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad; Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin; Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Patimah Ramuji.
Hannah sebelum ini mengalu-alukan siasatan SPRM berhubung isu dakwaan pemberian kontrak projek rintis DRT oleh kerajaan Selangor yang mengaitkan syarikat suaminya.
Katanya, beliau dan seluruh rakyat berhak untuk mendapatkan kebenaran dan bukti berhubung perkara itu yang turut membabitkan syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) yang mana suaminya, M. Ramachandran adalah Ketua Pegawai
Sementara itu, Azam berkata, seramai 50 saksi lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya berhubung projek bernilai lebih RM1.6 bilion di Lembah Klang.
Setakat ini beliau berkata, pihaknya telah menahan seramai 11 orang termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat konsesi dengan 11 kertas siasatan sudah dibuka.
“Kertas siasatan sedang giat disiapkan dengan setiap satu siasatan memerlukan tambahan lima ke enam orang saksi lagi. Jadi kalau 11 kertas siasatan, maksimum dalam 50 orang saksi yang perlu dipanggil memberi keterangan,” katanya. – UTUSAN










