SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang untuk menyerap mahasiswa yang menerima latihan Kor Sukarelawan Polis Siswa (SUKSIS) sebagai Pasukan Simpanan Polis (PVR) apabila mereka selesai menjalaninya dan mendapat tauliah.
Ini kerana, mahasiswa yang menamatkan latihan tersebut dikenal pasti mempunyai pengetahuan asas tentang kepolisan, undang-undang serta kemampuan fizikal untuk berkhidmat dalam unit tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau mempunya perancangan kepada mahasiswa Kor SUKSIS seperti mana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menempatkan lepasan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dalam Rejimen Askar Wataniah.
“Mungkin itu jangka masa yang panjang kita hendak tengok macam mana Kor SUKSIS boleh diserapkan ke dalam PVR dan dengan satu pangkat yang sesuai dengan latihan yang dijalani selama tiga tahun sesuai untuk kita akan fikirkan meletakkan di dalam PVR sendiri.
“Tak kisahlah kalau dia pengarah pun, boleh jadi inspektor atau asisten superitendan (ASP) dalam PVR. Jadi, itu lebih menarik saya nampak berbanding kita mengambil PVR yang biasa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Kor SUKSIS Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-9, hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 255 mahasiswa dari lapan kampus UiTM menerima sijil lantikan Inspektor Kor SUKSIS selepas menjalani latihan pelbagai modul seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), undang-undang, jasmani dan kawad selama tiga tahun.
Tambahnya, satu istiadat pentauliahan Kor SUKSIS dari universiti awam (UA) akan diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melibatkan lebih 800 mahasiswa pada 7 September depan.
Dalam pada itu, Razarudin juga memaklumkan mahasiwa Kor SUKSIS turut mempunyai laluan mudah sekiranya mereka mahu menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pegawai tetap menerusi pengambilan inspektor pelatih.
“Apabila keluar nanti, sekiranya kita juga pernah juga memanggil untuk temuduga inspektor diambil daripada Kor SUKSIS. Ini juga mungkin akan datang kita juga bercadang untuk pengambilan inspektor pelatih daripada Kor SUKSIS.
“Kalau pengambilan biasa, pelatih-pelatih yang memohon inspektor sekiranya mereka ada sijil Kor SUKSIS memang diberi laluan yang mudah, tetapi fizikalnya kena cergas. Masa pelantikan Kor SUKSIS, baik tak cedera, mana tahu bila keluar mereka kemalangan, BMI terlebih, kita reserve. Tetapi, dengan tiket Kor SUKSIS laluannya lebih mudah,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin memberitahu, kadar kebolehpasaran graduan yang menjalani latihan Kor SUKSIS atau pasukan beruniform lain adalah lebih baik berbanding graduan lain.
Jelasnya, penyertaan kokurikulum tersebut yang mana latihan-latihannya memberi nilai tambah kepada kualiti graduan dan dianggap cukup cergas, berketerampilan dan berdisiplin oleh majikan. – UTUSAN










