BAGAN SERAI: Allahyarham Muhamad Firdaus Abdull Fatah, 36, seorang daripada dua mangsa yang terkorban dalam letupan sebuah kapal di perairan Samalaju, Bintulu di Sarawak dua hari lalu, ada menyatakan hasrat untuk berhenti kerja sebaik sahaja tamat pelayaran tempoh hari.
Rakan mangsa, Shahrezza Mohd. Yusoff, 37, berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya baru-baru ini atas sebab Muhamad Firdaus tidak mahu lagi berjauhan dengan keluarganya di sini.
“Saya tidak sangka luahan hasratnya itu tanda dia pergi untuk selama-lamanya. Sebagai sahabat, saya terkejut dengan kejadian yang menimpanya,” katanya di sini, hari ini.
Muhamad Firdaus antara dua pekerja yang maut dalam insiden letupan membabitkan sebuah kapal berhampiran pelantar minyak di Bintulu, di utara Sarawak, dua hari lalu.
Seorang lagi mangsa yang maut dikenali sebagai George manakala Ahmad Zahid yang cedera dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.
Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jenazah Muhamad Firdaus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Jaya Matang Jelutong di sini pada kira-kira pukul 7.25 pagi tadi.
Terdahulu jenazah yang tiba di Masjid Jamek Tuanku Permaisuri Hajah Haminah Matang Jelutong di sini pada pukul 4 pagi disolatkan pada pukul 6.45 pagi.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM), Ikmal Azam Thanaraj Abdullah mahu majikan membayar pampasan kepada waris mangsa.
Menurutnya, pihaknya akan sentiasa memantau dan berhubung dengan ahli keluarga mangsa mengenai bayaran pampasan terhadap mangsa.
“Kebiasaannya pelaut menandatangani satu perjanjian yang ditetapkan syarikat dan pihak kesatuan akan memantau agar majikan membuat bayaran penuh seperti dalam perjanjian berkenaan.
“Kesatuan akan sentiasa memastikan pelaut-pelaut terbela dari segi kebajikan, perundangan dan guaman,” katanya. – UTUSAN










